LONDON: Perdana Menteri Boris Johnson berikrar akan mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi wanita selepas seorang wanita ditemui mati dalam perjalanan pulang ke rumahnya awal bulan ini.
Beliau turut berjanji akan mengkaji kawalan polis selepas seorang anggota pasukan keselamatan itu dilihat bergelut dengan seorang peserta wanita yang menyertai demonstrasi bagi membela kematian mangsa.
“Sama seperti orang lain yang menyaksikannya, saya berasa amat bimbang dan prihatin dengan rakaman insiden yang berlaku di Clapham Common pada malam Sabtu,” katanya.
Johnson yang akan mempengerusikan mesyuarat berhubung jenayah itu berkata, polis London dan badan pemantau boleh melaksanakan kajian berasingan dalam cara menangani tunjuk perasaan yang berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis London, Cressida Dick, yang berdepan tuntutan supaya meletakkan jawatan berkata pegawainya berada dalam kedudukan yang amat berbahaya.
“Mereka cuba menerangkan kepada peserta demonstrasi, meminta mereka supaya bersurai. Ramai yang patuh arahan polis namun ada segelintir daripada mereka enggan berbuat demikian,” katanya.
Seorang pegawai polis kanan, Helen Ball, berkata polis bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan orang ramai.
“Ratusan orang berhimpun tanpa ada penjarakan fizikal dan berisiko menyebarkan virus Covid-19,” katanya.
Sarah Everard ditemui mati beberapa hari selepas dilaporkan hilang pada 3 Mac lalu. Susulan penemuan mayat mangsa, seorang anggota polis didakwa atas kesalahan menculik dan membunuh wanita terbabit.
Ekoran kejadian itu, kumpulan Reclaim These Streets menganjurkan tunjuk perasaan bagi menuntut pembelaan di atas kematian mangsa walaupun perhimpunan itu tidak dibenarkan kerana perintah sekatan untuk mengekang penularan Covid-19. – AFP