Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini melancarkan ubi keledek varieti baharu ‘Lembayung’ yang dijangka mampu mengeluarkan hasil lebih 25 tan berbanding 20 tan pada musim biasa.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata pelancaran varieti tersebut sekali gus dapat meningkatkan pendapatan petani yang dijangka mampu memperoleh sekitar RM50,000 bagi satu hektar tanaman semusim, sekiranya jualan di ladang RM2 sekilogram.
“Petani boleh melipatgandakan pendapatan melalui penanaman dua atau tiga kali setahun,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Penyelidikan (COE) Ubi-Ubian MARDI Bachok dan Pelancaran Varieti Ubi Keledek di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu Datuk Kamarudin Md Nor dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.
Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata tempoh matang ubi berkenaan lebih cepat iaitu antara 91 hingga 105 hari selain mempunyai keistimewaan boleh dimakan segar malah turut sesuai diproses menjadi tepung dan pes untuk menghasilkan produk makanan.
“Antaranya produk makanan seperti kerepek, roti dan minuman komposit pracampuran. Saya yakin, varieti berkenaan dapat membantu meningkatkan pendapatan petani dan pengusaha ubi keledek di seluruh negara khususnya di Kelantan, Perak dan Johor,” katanya.
Beliau berkata kementeriannya turut menyasarkan sejumlah 3,600 hektar keluasan tanaman varieti itu di seluruh negara dan daripada jumlah itu, lebih 500 hektar tanaman melibatkan kawasan di Kelantan tahun ini.
Sementara itu, Mohamad Roff ketika berucap pada majlis itu berkata pihak MARDI komited untuk melaksanakan serta menghasilkan teknologi dan inovasi baharu dari semasa ke semasa bagi membantu golongan petani di seluruh negara.
“Kerjasama erat akan terus dijalankan dengan semua pihak berkaitan daripada jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan termasuk negeri dan berharap agar pihak pengusaha juga dapat terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” tambahnya.– BERNAMA