PUTRAJAYA: Kira-kira 1.4 juta individu yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 didapati tidak melengkapkan pendaftaran mereka, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, mereka hanya mengisi nama dan nombor kad pengenalan untuk pendaftaran penerimaan suntikan vaksin namun tidak menjawab soalan penilaian kesihatan serta melengkapkan alamat terkini masing-masing.
“Alamat terkini perlu diisi kerana proses temu janji akan diberikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.
“Kita tidak ambil alamat di kad pengenalan kerana ramai yang tidak tinggal di alamat yang tertera di kad itu,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini semalam, bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Khairy yang Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, mereka yang tidak melengkapkan pendaftaran di MySejahtera akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula semalam bagi meminta mereka melengkapkan pendaftaran di aplikasi berkenaan.
Menurutnya, setakat ini, lebih lima juta individu telah mendaftar untuk menerima suntikan melalui aplikasi MySejahtera, manakala 44,399 individu pula mendaftar melalui laman web dan call centre.
“Mengikut ratio pendaftaran kepada populasi sasaran daripada di MySejahtera, ini meliputi 22.8 peratus daripada penduduk disasarkan dan bilangan temu janji telah dikeluarkan adalah 391,877 untuk fasa pertama,” katanya.
Khairy berkata, setakat ini, 301,699 telah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan antara penerima itu adalah jururawat (23.86 peratus); doktor (22.23 peratus); kumpulan kesihatan lain (23.40 peratus); tentera, polis dan lain-lain (21.33 peratus) dan hanya 0.11 peratus melibatkan anggota pentadbiran iaitu 302 orang. — Bernama