KESATUAN Guru Sarawak (STU) telah meneliti cadangan Permuafakatan Ibu bapa Malaysia (MIMBAR) baru-baru ini yang meminta agar semua cuti penggal persekolahan bagi tahun ini dimansuhkan.
Presidennya Adam Prakash Abdullah berkata, MIMBAR juga telah menjelaskan maksud mereka adalah bukan untuk memansuhkan keseluruhan cuti tetapi dialihkan ke cuti hujung tahun nanti.
Katanya, STU memahami kerisauan yang diutarakan oleh ibu bapa berkaitan pelajaran mereka sejak bermulanya pandemik Covid-19.
“Perlu di ingatkan juga bahawa proses pengajaran dan pembelajaran tidak pernah terputus sepanjang masa persekolahan ditangguhkan secara bersemuka. Semua guru telah meneruskan kerja menyampaikan ilmu kepada anak didik mereka yang berada di rumah.
“MIMBAR harus faham bahawa anak murid yang berada di rumah semasa penangguhan sekolah secara bersemuka bukan ‘cuti’ bagi murid dan guru tetapi mereka tetap meneruskan urusan harian seperti biasa walaupun dalam keadaan serba susah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Adam berkata STU juga telah menerima banyak pertanyaan dari ibu bapa yang menyatakan anak-anak di rumah tidak sempat berehat semasa sekolah ditangguhkan secara bersemuka.
“Ini membuktikan bahawa program persekolahan telah berjalan mengikut kalendar akademik dan para guru telah melaksanakan tugas mereka dengan baik.
“STU berharap orang ramai berhenti beranggapan bahawa para guru sangat beruntung menerima ‘gaji buta’ dan seronok berada di rumah semasa pandemik Covid-19.
“Percayalah, semua guru sangat resah kerana bekerja di rumah sebab berada di sekolah akan memberi guru banyak ruang untuk membantu anak murid daripada pelbagai tahap untuk mereka berjaya dalam pelajaran dan tidak ada guru yang mahu anak didik mereka gagal dalam pelajaran,” ujarnya.
Justeru katanya lagi, STU juga berharap agar urusan berkaitan persekolahan ini diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia agar proses pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“STU ingin memohon kepada JPBNS agar mempertimbangkan supaya semua guru diberi vaksinasi dengan segera agar menjamin keselamatan mereka dan anak murid di sekolah.
“Kami mengharapkan ada juga sokongan dari ibu bapa agar menyuarakan sokongan terhadap memberi vaksinasi kepada guru dengan segera,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO