
SUSPEK ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan pinjaman tidak wujud.
SARATOK: Tindakan seorang wanita tempatan membenarkan akaun bank miliknya digunakan pihak lain membawa padah apabila dia ditahan pihak polis kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pinjaman tidak wujud baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata tangkapan tersebut dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Saratok susulan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sungai Maong, Kuching.
Suspek yang merupakan seorang wanita berusia 21 tahun dan tidak bekerja itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menjalankan aktiviti sebagai keldai akaun atau mule account.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek merupakan pemilik akaun pihak CIMB Bank Berhad yang digunakan untuk transaksi penipuan berkenaan.
“Walau bagaimanapun, akaun tersebut dikesan sudah tidak lagi aktif sejak bulan April lepas,” katanya dalam sayu kenyataan hari ini.
DSP Mathew menjelaskan, pihak polis turut mendapati terdapat kemasukan wang berjumlah RM725 ke dalam akaun bank milik suspek pada bulan Mac lalu bagi tujuan aktiviti keldai akaun.
“Walau bagaimanapun, suspek mendakwa tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai transaksi kemasukan wang berkenaan,” ujarnya.
Kes tersebut disiasat oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Sofian Zainuddin yang juga bertindak sebagai pegawai tangkapan dalam kes ini.
Suspek kini telah dibebaskan dengan jaminan polis oleh pihak BSJKD Saratok selepas kenyataannya di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah serta proses pengambilan cap jari selesai dijalankan.
Oleh Adi Safarman