
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, pada satu majlis kempen politik di Johor baru-baru ini adalah atas kapasiti peribadi beliau dan tidak mewakili pendirian gabungan itu.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya hanya mengetahui mengenai kehadiran Ahli Parlimen Bintulu itu selepas dimaklumkan berhubung laporan yang disiarkan oleh sebuah portal berita tempatan.
“Kehadiran beliau pada majlis kempen tersebut adalah atas kapasiti peribadi beliau sepenuhnya dan tiada kaitan langsung atau tidak langsung dengan GPS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Karim turut menegaskan GPS kekal konsisten dengan pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan pilihan raya di mana-mana negeri lain.

Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan prinsip yang selama ini diamalkan oleh gabungan politik berkenaan dalam menghormati proses demokrasi serta urusan politik negeri-negeri lain.
Sehubungan itu, beliau menafikan sebarang spekulasi yang cuba mengaitkan GPS dengan aktiviti kempen politik terbabit.
“Sebarang spekulasi yang mengaitkan GPS dengan aktiviti kempen politik berkenaan adalah tidak benar sama sekali,” tegasnya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan kehadiran Tiong pada satu program kempen Pakatan Harapan (PH) di Muar, Johor yang mendapat perhatian pelbagai pihak ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sedang berlangsung.
Ahli Jawatankuasa Kepimpinan Pemuda AMANAH, Muammar Qaddafi, dilaporkan menyifatkan kehadiran pemimpin kanan dari parti politik Borneo itu sebagai isyarat penting menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Beliau dilaporkan berkata kehadiran Tiong pada pentas kempen PH bukan sekadar untuk membantu kempen di Johor, sebaliknya mencerminkan usaha memperkukuh hubungan politik sebagai persediaan menghadapi PRU16.
Susulan kenyataan dan spekulasi yang timbul daripada kehadiran tersebut, GPS tampil menjelaskan bahawa Tiong hadir atas kapasiti peribadi dan pendirian gabungan itu untuk tidak terlibat dalam pilihan raya negeri lain kekal tidak berubah.