PERBADANAN Sukan Sarawak (SSC) memandang serius tahap kecergasan setiap atlet yang mewakili negeri ini berada pada tahap yang terbaik.
Justeru, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan melihat Pusat Rehabilisasi Prestasi Tinggi melalui Rehab Concept yang mengkhaskan pemulihan atlet ‘elit’ semua sukan bakal memastikan mereka dapat pulih daripada kecederaan dengan pantas dah efisien.
“Seperti yang kita tahu, Rehab Concept telah menjalin kerjasama bersama SSC sejak Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016 dan telah menyediakan peralatan yang terbaik dan berkualiti di pusat ini.
“Atlet-atlet elit negeri ini telah mendapat manfaat daripada pelbagai program fisioterapi yang direncanakan dan ada antara mereka telah menjadi pemenang pingat dan diserap masuk ke dalam skuad kebangsaan, katanya.
Snowdan berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Pusat Rehabilisasi Berprestasi Tinggi di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, semalam.
Beliau juga memaklumkan kecederaan yang selalu terjadi dalam sukan ialah masalah tulang belakang, ligamen, terseliuh, Ligamen Krusiat Anterior (ACL) dan pelapik lutut koyak, dan ketegangan otot.
“Rehabilisasi selepas kecederaan amat penting untuk memastikan atlet yang cedera dapat meneruskan latihan secepat yang mungkin.
“Ini termasuk dengan mewujudkan kesedaran melalui pencegahan kecederaan dan perolehan bunyi prinsip biomekanikal melalui proses ini,” jelasnya.
Kerjasama ini akan membantu Sarawak untuk mencapai visi dan misi untuk menjadi kuasa besar dalam sukan negara menjelang 2024.
Oleh ASYRAF HALIM