Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Nilai teras kewartawanan benteng utama dalam era AI 
  • NASIONAL

Nilai teras kewartawanan benteng utama dalam era AI 

Utusan Sarawak 6 hours ago
ETIKA, integriti dan sentuhan kemanusiaan terus menjadi nadi kewartawanan dalam era AI.

KUALA LUMPUR: Perkembangan pesat teknologi daripada era mesin taip kepada kecerdasan buatan (AI) telah mengubah landskap dunia kewartawanan, sekali gus membolehkan proses penghasilan dan penyebaran berita dilakukan dengan lebih pantas berbanding sebelum ini.

Namun, di sebalik kemajuan teknologi itu, wartawan veteran dan wartawan muda sependapat bahawa nilai teras kewartawanan seperti etika, integriti, ketepatan dan sentuhan kemanusiaan perlu terus dipertahankan bagi memastikan laporan yang dihasilkan kekal tepat serta diyakini masyarakat.

Penasihat Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar, 61, berkata nilai-nilai tersebut menjadi benteng utama dalam era AI dan media sosial bagi memastikan media arus perdana terus mendapat kepercayaan masyarakat.

“Penting bagi wartawan memastikan ketepatan, keadilan, kebebasan, ketelusan dan akauntabiliti sentiasa menjadi pegangan supaya pembaca terus mempercayai kita.

“Pada masa kini, maklumat palsu dan separa benar tersebar dengan begitu pantas menerusi media sosial. Jika tidak mahu profesion kewartawanan terus terancam, kita mesti mempertahankan nilai-nilai teras kewartawanan,” katanya kepada Bernama.

Muguntan berkata pengalaman memulakan kerjaya pada era mesin taip menjadikan beliau lebih menghargai proses kewartawanan yang menuntut ketelitian tinggi.

“Setiap perkataan sangat bermakna. Kami tidak boleh sekadar memadam perkataan dengan menekan butang ‘delete’ kerana kesilapan satu ayat atau ejaan memerlukan kami menaip semula seluruh halaman berita.

“Mesin taip juga memberi ‘nyawa’ tersendiri kepada bilik berita menerusi bunyinya dan bagi generasi kami, ia benar-benar menjadikan dunia kewartawanan terasa hidup,” katanya.

Menurut beliau, kemajuan teknologi turut mengubah cara wartawan mendapatkan maklumat apabila temu bual yang dahulunya dilakukan secara bersemuka kini banyak dijalankan menerusi telefon atau aplikasi pesanan.

Beliau menyifatkan AI sebagai teknologi yang mempunyai manfaat dan risiko kerana mampu meningkatkan kecekapan kerja, namun berpotensi menjejaskan etika kewartawanan serta proses editorial jika tidak digunakan secara berhemah.

“Saya percaya lambat-laun AI akan mengambil alih sebahagian besar cara wartawan bekerja. Namun, nilai-nilai teras kewartawanan mesti sentiasa dipertahankan bagi memastikan sentuhan kemanusiaan terus kekal dalam setiap laporan berita,” katanya.

Sementara itu, wartawan meja ekonomi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi, 25, berkata wartawan muda perlu berpegang teguh kepada prinsip kewartawanan supaya media kekal menjadi sumber maklumat yang sahih dan dipercayai.

“AI boleh dimanfaatkan sebagai alat untuk mencari maklumat serta membantu semakan fakta dan tatabahasa, tetapi bukan untuk menulis berita sepenuhnya. Gaya penulisan asli dan sentuhan kemanusiaan dalam laporan berita penting bagi mengekalkan identiti seseorang wartawan,” katanya.

Mengidolakan bekas Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, beliau berazam untuk menjadi wartawan yang beretika, berintegriti tinggi serta mampu menyampaikan berita yang tepat kepada masyarakat.

Wartawan Malaysia Gazette Nur Arina Asbar, 25, pula berkata wartawan muda perlu lebih peka terhadap persekitaran, khususnya berkaitan penyebaran berita palsu menerusi media sosial.

“Dalam mengejar kepantasan melaporkan isu tular, wartawan perlu menyemak kesahihan setiap maklumat yang diterima bagi memastikan berita yang dilaporkan berasaskan fakta yang tepat dan sahih,” katanya.

Beliau menjadikan Zainal Abidin Abdul Rashid (ZRA), wartawan Malaysia pertama yang berjaya menyelinap masuk ke Israel dan Palestin untuk menghasilkan laporan khas, sebagai idolanya dalam bidang kewartawanan.

Bagi wartawan Astro Awani Nurul Shafiqa Azami, 25, cabaran utama wartawan ketika ini ialah mendapatkan sumber yang sahih ketika AI semakin meluas digunakan untuk menghasilkan kandungan serta imej palsu.

“Sebagai wartawan muda, saya memanfaatkan teknologi AI untuk membantu mengenal pasti intro berita serta mendapatkan latar belakang sesuatu isu bagi melengkapkan laporan yang ditulis.

“Namun, wartawan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada AI dalam penulisan bagi memastikan sentuhan manusia terus kekal dalam setiap laporan berita,” katanya.

Nurul Shafiqa berkata personaliti televisyen Jasmine Abu Bakar dan editor Astro Awani Assim Mohammad Hassan menjadi sumber inspirasinya dalam dunia kewartawanan. – Bernama

Continue Reading

Previous: Hubungan baik dengan kuasa besar tidak gadai prinsip negara – PM
Next: Selesaikan 53 sifir seminit, kanak-kanak enam tahun ukir nama dalam MBOR

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.