Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • APMM tahan bot tunda gagal kibarkan Jalur Gemilang di perairan Bintulu
  • Utara
  • WILAYAH

APMM tahan bot tunda gagal kibarkan Jalur Gemilang di perairan Bintulu

Utusan Sarawak 5 hours ago
BOT tunda yang ditahan APMM Zon Bintulu selepas didapati gagal mengibarkan Jalur Gemilang ketika berada dalam kawasan Pelabuhan Malaysia di perairan Bintulu, semalam.

BINTULU: Sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu selepas didapati gagal mengibarkan Jalur Gemilang ketika berada di kawasan Pelabuhan Malaysia di perairan Bintulu, semalam.

Bot tunda berkenaan ditahan kira-kira 2.4 batu nautika di barat laut Kuala Kemena dalam operasi rondaan penguatkuasaan oleh APMM menerusi Op Tiris 4.0 dan Op Permai 01/2019 sekitar 10.10 pagi.

Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana tidak mengibarkan bendera Malaysia sebagaimana diwajibkan ketika berada di kawasan pelabuhan negara.

Menurutnya, pengibaran bendera negara merupakan keperluan yang perlu dipatuhi oleh setiap vesel sebagai tanda pengenalan serta pematuhan kepada peraturan pelayaran yang berkuat kuasa.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tunda tersebut dikendalikan enam kru, terdiri daripada lima warga Indonesia termasuk nakhoda serta seorang warga India.

ENAM kru bot tunda yang ditahan oleh APMM Zon Bintulu selepas pemeriksaan mendapati vesel berkenaan gagal mengibarkan Jalur Gemilang ketika berada dalam kawasan Pelabuhan Malaysia, semalam.

“Kesemua kru bersama vesel berkenaan telah ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu membuktikan komitmen berterusan APMM dalam memastikan semua pengendali vesel mematuhi undang-undang maritim serta memperkukuh aspek keselamatan dan ketenteraman perairan negara.

Katanya, pematuhan terhadap peraturan pelayaran bukan sahaja penting untuk penguatkuasaan, malah membantu memastikan keselamatan aktiviti perkapalan serta memudahkan proses pemantauan oleh pihak berkuasa.

Sehubungan itu, komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan syarat operasi ketika menjalankan aktiviti di laut bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan.

Dalam pada itu, APMM akan terus memperhebat rondaan dan penguatkuasaan di perairan Sarawak bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang maritim serta memastikan perairan negara kekal selamat dan terkawal.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim berhampiran untuk tindakan segera.

Oleh Faizah Muzidi

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Ular sawa ‘menumpang’ dalam mangkuk tandas
Next: Detik cemas Hilux dihanyutkan arus deras, pemandu sempat selamatkan diri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.