SEMATAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberi jaminan fasa pertama Taman Perindustrian Sematan dijangka siap pada 22 Disember 2021.
Beliau berkata, meskipun terdapat sedikit kelewatan dalam projek ini, kontraktor yang bertanggungjawab telah memberi jaminan kepada beliau bahawa fasa pertama projek ini akan siap menjelang hujung tahun ini.
“Pihak kontraktor berkata bahawa terdapat kelewatan kira-kira tiga peratus dalam projek fasa pertama ini, namun tetap yakin bahawa ia masih boleh disiapkan menjelang Disember kelak.
“Taman perindustrian ini berada di kedudukan yang strategik di tanah berkeluasan 52.38 ekar sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo dan hanya 800 meter dari Bazar Sematan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua berkata demikian ketika mengunjungi Taman Perindustrian Sematan dan Anjung Usahawan Sematan di Tapak Anjung Usahawan Sematan di sini, semalam.
“Kos fasa pertama projek ini menelan belanja sebanyak RM8.5 juta meliputi kawasan sebanyak 13.25 ekar. Seluas 10.09 ekar adalah untuk lot industri manakala 3.16 ekar selebihnya adalah untuk Anjung Usahawan Sematan,” jelasnya lagi.
Menurut Awang Tengah, sebanyak RM9.3 juta akan digunakan untuk membina Anjung Usahawan Sematan yang dijangka siap pada April kelak.
“Ini adalah salah satu dari Anjung Usahawan yang ditubuhkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED).
“Objektif Anjung Usahawan adalah untuk mempercepat transformasi sosio-ekonomi serta menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di seluruh Sarawak,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, kedua-dua projek rakyat ini dibiayai oleh kerajaan Sarawak dan beliau berharap agar konsultan dan kontraktor dapat menyiapkan projek dengan kadar segera, supaya ia dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.