SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak akan mempercepatkan projek bekalan air paip di kawasan Gedong yang dijangka akan siap pada akhir tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan akan berusaha untuk memastikan projek-projek berkenaan siap dalam tempoh yang telah ditetapkan untuk kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan.
“Kini kita sedang sibuk membangunkan saluran air paip dan projek ini juga sedang berjalan dengan baik.
“Saya telah diberi taklimat (penerangan) berkenaan dengan projek ini bahawa ia akan dijangka siap pada akhir tahun ini dan banyak lagi tempat-tempat yang mana saluran air ini telah siap.
“Kita mendoakan semoga perjalanan projek di kawasan ini berjalan dengan lancar walaupun dalam keadaan norma baharu disebabkan oleh wabak pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Jiwa Murni (PJM) di Balai Raya Gedong, di sini, semalam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Noraden Majais berkata, Program Jiwa Murni tersebut adalah yang kedua kali diadakan di Gedong di mana program pertamanya diadakan pada tujuh tahun yang lalu.
Katanya, Sebanyak 21 Program Jiwa Murni (PJM) telah Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong kali ini malah ada sedang dan akan disiapkan hingga hujung bulan dan ia juga termasuk kampung Lubok Punggor dan kampung Lubok Bunting.
“Selain itu, terdapat tiga projek naik taraf titi ke rumah-rumah, satu titi ke tapak perkuburan, mengecat masjid Gedong dan 16 baik pulih rumah.
“Saya juga difahamkan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan PJM yang serupa kepada DUN Sadong Jaya dan DUN Simunjan,” katanya.
Ujarnya, Kerajaan Sarawak melalui wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah melaksanakan projek membaik pulih bagi rumah rumah rakyat yang perlu dibantu termasuk rumah panjang.
“Namun begitu, disebabkan jumlah yang perlu di bantu terlalu banyak ia tidak dapat dilaksanakan sekali gus dan tidak dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat.
“Program ini baru dimulakan dalam dua tahun yang lepas dibawah kerajaan pimpinan ketua menteri Abang Johari memandangkan Program RUMAH PPRT telah ditarik balik oleh kerajaan persekekutuan sejak 3 tahun yang lalu,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO