Ketika negara bertarung dengan pandemik Covid-19, negara juga masih diancam masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan warganya. Sama seperti Covid-19 yang memerlukan kerjasama warga untuk memeranginya, perang terhadap dadah juga memerlukan komitmen padu semua pihak untuk membanterasnya hingga ke akar umbi.
Justeru sambutan Hari Antidadah Kebangsaan yang disambut pada 19 Februari lalu dengan slogan Lebih Baik Cegah, # Dadah Terkawal 2025, mengajak rakyat Malaysia untuk memperbaharui ikrar dan tekad bagi sama-sama membanteras musuh nombor satu negara itu.
Bagi Sarawak, sambutan peringkat negeri telah diadakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada 19 Februari lalu dengan matlamat mempersiapkan diri, keluarga dan komuniti dengan pelbagai kemahiran, daya tahan dan mempromosi serta menggalakkan individu untuk berfungsi di dalam persekitaran fizikal dan sosiobudaya yang sihat.
Satu program lama tetapi dilaksanakan dalam norma baharu iaitu Virtual Run Againts Drug telah diadakan dan mendapat penyertaan yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Jika sebelum ini program berkenaan diadakan secara bersua muka tetapi pandemik Covid-19 mengehadkan pergerakan sehingga terpaksa dilaksanakan secara maya.
Solidariti Anak Muda Bebas Dadah pula merupakan program yang diadakan untuk mengukur sokongan dan juga mendapatkan pandangan dari golongan muda dalam negara melalui survei yang dikeluarkan oleh pihak ibu pejabat AADK.
Pelbagai maklum balas diterima daripada program ini, sekali gus membuktikan bahawa memang ramai anak muda yang sedar tentang usaha kerajaan membanteras pengambilan najis dadah ini.
Turut diadakan juga adalah Program Walking Message Skuad Antidadah Kuching serta temu bual bersama Setiausaha Skuad Antidadah Kuching, Adzahar Zaidel berkenaan fungsi dan peranan skuad antidadah di dalam rancangan Kuppa Kupi – Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Pihak jawatankuasa penganjur juga turut mengadakan beberapa pertandingan seperti Pertandingan Mencipta Lagu Mesej Antidadah, Pertandingan Mencipta Aplikasi Antidadah dan Pertandingan Mereka Cipta Video Antidadah untuk penyertaan awam.
Menyedari bahawa para pelajar sekolah perlu diberi keutamaan di dalam program antidadah, Program 5 Minit Mesej Antidadah Sekolah turut digariskan di dalam agenda sambutan Hari Antidadah Kebangsaan ini.
Pihak ibu pejabat AADK bertindak menyediakan bahan-bahan yang bersesuaian untuk diberikan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai mesej selingan semasa sesi pembelajaran secara atas talian berjalan.
Satu lagi agenda menarik yang telah diadakan bersempena sambutan ini adalah Khutbah Jumaat Khas yang telah disediakan oleh pihak ibu pejabat AADK dan diedarkan kepada pihak Majlis Agama Islam untuk dibacakan pada tarikh sambutan yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat.
Malah untuk menunjukkan tanda sokongan masyarakat Malaysia sempena Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan tersebut, orang ramai telah digalakkan untuk memakai baju berwarna putih bagi menjalani rutin harian seperti biasa tanpa melibatkan sebarang bentuk perhimpunan dan menzahirkan sokongan di platform media sosial masing-masing dengan mesej kesedaran dan sokongan serta tag di Facebook AADK.
Sementara itu, sambutan Hari AADK peringkat Negeri Sarawak telah dirasmikan oleh Ketua Daerah AADK Kuching, Sharifah Azimah Said Ismail. Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Skuad Antidadah Kuching Syahfizul Md. Shah dan Setiausaha kehormat Skuad Antidadah Kuching.
Oleh HAINI DARANI