
KRIAN: Inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi projek pembangunan luar bandar terus membawa manfaat kepada penduduk di kawasan Krian apabila dua rumah panjang menerima peruntukan bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan kediaman mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu memberi kegembiraan kepada penduduk Rumah Bundak, Sungai Anak, Sebetan serta Rumah Jim Belatok, Nanga Senulau Budu, Krian.
Menurut beliau, Rumah Bundak menerima peruntukan sebanyak RM200,000 manakala Rumah Jim Belatok turut menerima jumlah yang sama untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf rumah panjang masing-masing.
Katanya, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan GPS dalam memastikan kemudahan asas dan infrastruktur luar bandar sentiasa dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berharap projek-projek kecil seperti itu dapat memberikan impak besar kepada kehidupan penduduk, khususnya komuniti rumah panjang yang menjadi penerima utama peruntukan pembangunan di kawasan Krian.
“Melalui projek ini, para penerima akan dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa dan selamat, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan mereka dan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Pusat Khidmat DUN Krian bersama agensi pelaksana telah mengadakan lawatan serah tapak projek BDDA yang kini sedang giat dilaksanakan di beberapa lokasi dekat sini semalam.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut spesifikasi yang ditetapkan serta memenuhi keperluan penduduk setempat.
Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah wakil ADUN Krian, James Jimbun, wakil Majlis Daerah Saratok, wakil BDDA serta pihak kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek pembangunan tersebut.
Oleh Adi Safarman