SIMANGGANG: Isu dewan masyarakat yang rosak serta terbengkalai di penempatan Taman Harmoni dalam bandar ini sudah diselesaikan apabila tertubuhnya satu jawatankuasa bagi mengurus kemudahan berkenaan di situ.
Ia diberi nama Jawatankuasa Pengurusan Dewan Masyarakat Taman Harmoni dengan organisasi itu ditubuh menerusi satu mesyuarat yang berlangsung di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis dengan menyaksikan Penghulu Tiong Chong Onn dan KK (Ketua Kampung) Jolly Ramli dilantik sebagai penasihat dalam jawatankuasa itu.
KK Ahmad Kipli pula dilantik sebagai pengerusi dengan Kapitan Wong Tiong Kee serta Machie Lakat masing-masing dilantik sebagai timbalan pengerusi dan setiausaha.
Mesyuarat tersebut juga menyaksikan Kennedy Nuing dilantik sebagai penolong setiausaha dengan Edward Langie Ajie dan Bridi Dayang masing-masing dilantik sebagai bendahari serta penolong bendahari.
Mostapha Tugo pula dilantik sebagai juruaudit dengan enam lagi individu dilantik sebagai ahli dalam jawatankuasa iaitu Patrick Eu Sik Shien, Lawau Sliau, Ahmad Salabi, Jospri Tawi, Wan Malek Wan Othman dan Nizam Morshidi.
“Pada mulanya dewan berkenaan telah dibina oleh pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak yang kemudiannya tidak menyerahkan kemudahan itu kepada organisasi di sini bagi tujuan penjagaan.
“Akibatnya dewan itu telah terbiar dan menjadi ‘sarang’ kegiatan tidak sihat di sini. Atas sebab itu kerajaan telah pun bertindak melulus peruntukan sebanyak RM200,000 bagi melaksanakan projek membaik pulih kemudahan itu,” kata Harden.
Sebaik sahaja selesai dibaik pulih di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Simanggang, kemudahan berkenaan kata beliau akan diurus oleh pihak jawatankuasa yang ditubuh bagi tujuan itu menerusi mesyuarat tersebut.
Justeru Harden berharap agar Dewan Masyarakat Taman Hamorni yang sudah berwajah baharu ini akan dapat memberi kemudahan untuk penghuni taman di situ bagi mengadakan pelbagai aktiviti berfaedah demi kebaikan bersama.
Terdahulu sejumlah empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sekitar penempatan Taman Harmoni di situ telah berkongsi menggunakan dewan masyarakat berkenaan.
JKKK yang berkongsi menggunakan kemudahan dewan berkenaan tersebut adalah JKKK (Dayak) Fasa 1, JKKK (Iban) Fasa 2, JKKK (Cina) Temudok dan JKKK (Melayu) Taman Harmoni.
Oleh VALENTINE NGUMBANG