Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • HITS Sarawak 2026 sasar tingkat penyertaan pelajar Sarawak ke KPTM, UPTM
  • PENDIDIKAN

HITS Sarawak 2026 sasar tingkat penyertaan pelajar Sarawak ke KPTM, UPTM

Utusan Sarawak 10 hours ago
DATUK Rubiah Wang ketika ditemui pemberita selepas merasmikan HITS Sarawak 2026 di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.

KUCHING: Program Jelajah Institusi Pendidikan Tinggi (Higher Education Institution Tour Series – HITS) Sarawak 2026 dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 pelajar menerusi pendedahan awal mengenai peluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi di bawah MARA.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, program tahunan anjuran Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) itu bertujuan memperkenalkan pelbagai bidang pengajian kepada pelajar supaya mereka dapat merancang hala tuju pendidikan lebih awal selepas tamat Tingkatan Lima atau Tingkatan Enam.

Menurutnya, HITS tahun ini diadakan di lima lokasi iaitu Sarawak, Sabah, Johor, Kedah dan berakhir di Shah Alam.

“KPTM menawarkan program diploma manakala UPTM menawarkan program ijazah sarjana muda dan program-program profesional yang memenuhi keperluan pekerjaan masa kini seperti TESL, perakaunan serta pendidikan awal kanak-kanak.

“Sebelum ini program-program yang ditawarkan kurang diketahui ramai, namun melalui HITS yang dilaksanakan setiap tahun, peningkatan permohonan pelajar amat ketara khususnya dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan HITS Sarawak 2026 di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.

DATUK Rubiah Wang menyampaikan insentif kepada wakil sekolah pada majlis perasmian HITS Sarawak 2026 di Plaza Merdeka, hari ini.

Rubiah berkata, permohonan pelajar dari Sarawak ke KPTM menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila meningkat daripada kurang 500 permohonan sebelum ini kepada lebih 1,800 permohonan pada tahun lalu.

Katanya, sehingga Jun tahun ini, sebanyak 1,010 permohonan telah diterima daripada pelajar Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama antara KPTM, UPTM dan Yayasan Sarawak kini membolehkan pelajar Sarawak yang mengikuti pengajian di kedua-dua institusi berkenaan menikmati pelbagai insentif yang disediakan kerajaan negeri.

Antara bantuan yang boleh dipohon termasuk bantuan komputer riba, baucar buku, bantuan kewangan khas RM1,200 serta insentif perjalanan pulang ke Sarawak bagi pelajar yang layak.

“Kita mahu lebih ramai pelajar Sarawak memanfaatkan peluang ini kerana bidang yang ditawarkan selari dengan keperluan industri dan pasaran pekerjaan masa kini,” katanya.

Mengenai sasaran kemasukan pelajar tahun ini, beliau berkata pihaknya berharap dapat menerima antara 4,000 hingga 5,000 pelajar dari Sarawak pada masa akan datang.

Menurutnya, KPTM juga sedang dalam proses dan perancangan untuk beroperasi di Sarawak bagi memudahkan akses pendidikan tinggi kepada anak negeri.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: SMK St Anthony cipta rekod baharu dalam SPM 2025
Next: “Ke mana mereka yang lain itu?” – Sarawak belum penuhkan kuota pelajar perubatan UNIMAS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.