Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Azalina akan mohon peruntukan Belanjawan 2027 untuk perluas Pejabat Satelit JBG
  • NASIONAL

Azalina akan mohon peruntukan Belanjawan 2027 untuk perluas Pejabat Satelit JBG

Utusan Sarawak 10 hours ago
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said melawat Pejabat Satelit Jabatan Bantuan Guaman Pengerang selepas merasmikannya di Mahkamah Pengerang hari ini. Foto BERNAMA

KOTA TINGGI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said akan memohon peruntukan menerusi Belanjawan 2027 bagi memperluas penubuhan pejabat satelit Jabatan Bantuan Guaman (JBG) ke kawasan luar bandar di seluruh negara.

Beliau berkata penubuhan itu penting bagi memastikan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar, mendapat akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan bantuan guaman serta mengetahui hak mereka untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan perundangan.

“Apabila bercakap tentang bantuan guaman, kita mesti memberikan perlindungan kepada rakyat supaya mereka mengetahui bahawa mereka mempunyai hak untuk mendapatkan bantuan guaman.

“Sebab itu saya akan memohon peruntukan dalam belanjawan tahun depan. Jika kita dapat mewujudkan lebih banyak pejabat satelit di daerah-daerah yang jauh dari pejabat negeri, ia akan memudahkan rakyat mendapatkan akses kepada bantuan guaman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Satelit JBG di Mahkamah Pengerang, Bandar Penawar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata perkhidmatan itu akan dikukuhkan lagi menerusi penggunaan van bergerak JBG melalui program Justice on Wheels (JOW) yang boleh memasuki kawasan kampung dan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.

Azalina berkata pendekatan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk membawa perkhidmatan bantuan guaman terus kepada rakyat tanpa menunggu mereka hadir ke pejabat JBG.

“Bagi saya, tiada gunanya kita buat pindaan pada Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam kalau rakyat tidak tahu di mana dia nak minta perlindungan dan juga bantuan.

“Saya juga sedang mengarahkan Ketua Pengarah supaya perkhidmatan ini diberikan di kawasan-kawasan, termasuk kawasan yang diwakili pembangkang juga, jadi kita akan memberikan surat kepada setiap Ahli Parlimen supaya mereka boleh memilih hari yang sesuai mengikut negeri masing-masing,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Azalina berkata pembukaan Pejabat Satelit JBG Pengerang ialah satu langkah strategik Kerajaan MADANI dalam memperkukuh akses kepada keadilan melalui penyampaian perkhidmatan bantuan guaman yang lebih dekat, mudah diakses dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Penubuhan pejabat satelit itu, katanya, akan mengurangkan keperluan orang ramai untuk melakukan perjalanan jauh bagi mendapatkan khidmat bantuan guaman, sekali gus menjimatkan masa dan kos.

Beliau berkata penubuhan Pejabat Satelit JBG Pengerang ialah hasil kerjasama pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor keadilan, khususnya Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Katanya, sinergi antara agensi berkaitan membuktikan bahawa usaha memperluas akses kepada keadilan memerlukan komitmen dan kerjasama berterusan bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan benar-benar memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Pembukaan Pejabat Satelit JBG Pengerang bakal membawa perkhidmatan bantuan guaman lebih dekat kepada rakyat, selari dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam mempertingkatkan akses kepada keadilan kerana ia bukan satu keistimewaan, tetapi hak setiap rakyat, sekali gus memastikan tiada sesiapa yang terpinggir daripada sistem keadilan negara,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: KPDN nyahaktif 179 syarikat dari sistem eCOSS, usaha bendung ketirisan subsidi minyak masak
Next: El Nino dijangka menguat, beri kesan kepada pertanian, kesihatan dan alam sekitar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.