KUCHING: Atas keterdesakan hidup, seorang lelaki dan seorang wanita sanggup mengambil upah sejumlah RM3,000 untuk menjadi keldai dadah dan cuba menyeludup ke negara jiran.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Aidi Ismail berkata, kedua-dua suspek yang mengaku baru pertama kali melakukan jenayah terbabit telah ditangkap oleh petugas Ops Benteng di Tebedu, Jumaat lalu.
“Sekitar 5.00 pagi 5 Mac yang lalu, sepasukan petugas yang menjalankan tugas sekatan jalan raya di KM30 Jalan Serian-Tebedu telah menahan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai sejumlah 0.73 gram dadah jenis Methamphetamine (syabu) dan satu beg galas berisi 14,880 biji pil disyaki pil ecstasy serta wang tunai bernilai RM500.
“Kedua-dua suspek bersama barang rampasan telah ditahan dan dihantar ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian untuk tindakan selanjutnya,” katanya, dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sarawak, di sini semalam.
Menurut beliau, jumlah daripada hasil rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM267,940, iaitu boleh mencecah RM1,410,600 jika harga pasaran di Indonesia, yang turut dianggarkan untuk kegunaan 49,600 penagih.
Jelasnya lagi, hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu, namun kedua-keduanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek berhadapan hukuman mati atau penjara seumur hidup, atau hukuman sebatan yang tidak kurang dari 15 kali sebatan,” katanya.
Sementara itu, Aidi turut memaklumkan bekalan dadah ini dipercayai dihantar dari Kuching khusus untuk diseludup ke Indonesia melalui sempadan Tebedu.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek diupah untuk menghantar bekalan dadah tersebut ke Tebedu sahaja, seterusnya ia akan diambil oleh sumber lain sebelum dibawa masuk ke Indonesia,” ujarnya lagi.
Tegasnya lagi, pihak polis akan terus melakukan siasatan dan risikan lanjut bagi menyekat dan melumpuhkan operasi pengedaran dadah di negeri ini.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP