
KOTA SAMARAHAN: Kehadiran penyanyi dan pelakon popular Malaysia, Mark Adam, memeriahkan Majlis Penutupan Cetusan Inspirasi Pelajar Tahun Akhir (CIPTA) 2026 anjuran Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), di Panggung Eksperimen Teater FSGK, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), semalam.
Artis kelahiran Filipina yang mencipta nama dalam industri hiburan tanah air itu menghiburkan para hadirin menerusi persembahan bertenaga membawakan lagu hitnya, Marry Me dan Pencuri, sekali gus mencetuskan suasana penuh meriah dalam kalangan pelajar dan tetamu yang hadir.

Menurut pihak penganjur, penampilan khas Mark Adam menjadi antara tarikan utama majlis penutupan program tahunan berprestij yang mengetengahkan hasil karya dan pencapaian pelajar tahun akhir Fakulti Seni Gunaan Kreatif.
Lebih istimewa, selepas selesai membuat persembahan, Mark Adam meluangkan masa beramah mesra bersama para pelajar dengan sesi bergambar dan swafoto, yang disambut penuh keterujaan oleh peminat.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimas, Profesor Ir Al-Khalid Othman berkata, CIPTA 2026 bukan sekadar platform mempamerkan hasil kreativiti pelajar, malah menjadi ruang untuk mereka menonjolkan bakat, inovasi dan pencapaian sepanjang tempoh pengajian.

Beliau berkata, tema CIPTA 2026 iaitu ‘Akar Ke Laluan’ menggambarkan perjalanan pelajar daripada pelbagai latar belakang sebelum dibentuk menjadi pengamal industri kreatif yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada masyarakat melalui karya mereka.
Pada majlis sama, beberapa pelajar turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang FSGK 2026 mengikut program masing-masing.
Bagi program Seni Halus, anugerah tersebut disandang Samini Arumugam, manakala kategori Teknologi Reka Bentuk dimenangi Micheal Vallac Lapok.

Ryan Luk Gu Zhi pula menerima pengiktirafan bagi program Muzik, sementara Siti Nur Khairunisa Mohd Amirul Daniel dinobatkan sebagai penerima anugerah bagi program Drama dan Teater.
Bagi program Animasi, anugerah berkenaan dikongsi oleh Wu Jue dan Ericca Jic, manakala Davin Liew Jia Poh menerima pengiktirafan bagi program Pengurusan Seni.
Dalam kategori Sinema, anugerah tersebut diberikan kepada Thana Lakshmi Subramanian dan Matthew Tangga Tamoi.
Majlis Penutupan CIPTA 2026 menghimpunkan warga fakulti, alumni, pensyarah serta pelajar dalam meraikan pencapaian dan kreativiti generasi baharu industri seni dan kreatif negara.
Oleh Shahrul Qaizat