KUCHING: Lebih banyak sumber tenaga mahir dalam pelbagai teknologi baharu boleh menjadi pemangkin kepada ekonomi bagi negeri ini menjelang tahun 2030.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sumber berkenaan termasuklah penggunaan gas hidrogen.
Beliau menzahirkan rasa puas hati atas keupayaan institusi pengajian tinggi seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan Kolej Universiti i-CATS mampu menghasilkan sumber tenaga berkemahiran sedemikian.
Sarawak perlu menyediakan institusi universiti, vokasional dan pusat latihan kemahiran khas untuk menjana kemahiran dalam teknologi baharu ini, katanya ketika berucap dalam majlis
Pengisytiharan Konvokesyen Sarawak Skill dan Kolej Universiti i-CATS ke-23 di Kolej Universiti i-CATS, di sini, semalam.
“Kita perlu mempunyai tenaga mahir sendiri daripada golongan juruteknik dan jurutera supaya ada kelangsungan pada ketika negeri ini mengejar pembangunan berasaskan teknologi dan sumber tenaga baharu, khususnya hidrogen.
“Saya yakin institusi seperti Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS boleh memainkan peranan sebagai penjana sumber tenaga mahir dalam pelbagai teknologi baharu termasuk pembangunan penggunaan gas hidrogen dan teknologi digital yang menjadi pemangkin kepada ekonomi,” tambahnya.
Katanya, sejajar dengan naik taraf tersebut, Kerajaan Sarawak akan mempertingkatkan kemudahan di universiti terbaharu ini yang akan memfokus kepada pengembangan ilmu teknologi, penyelidikan, kejuruteraan dan teknologi aero.
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan agenda besar pendidikan negeri ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan generasi pewaris negara.
“Saya percaya dengan semangat, komitmen dan dedikasi pihak pengurusan dan warga kerja Kolej Universiti i-CATS semua, kita akan berjaya mencapai matlamat ini.
“Saya berharap agar Sarawak Skills dan institusi kumpulannya akan meneruskan agenda pendidikannya supaya menjadi platform untuk memperkasakan lagi budaya ilmu berkemahiran, menerapkan nilai murni dan lebih utama dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat,” katanya.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Pengerusi Sarawak Skills dan Pro-Canselor Kolej Universiti I-CATS Tan Sri Abdul Aziz Husain.
Seramai 742 graduan dari pelbagai program akademik dan kemahiran telah menamatkan pengajian mereka di peringkat sijil, diploma dan sarjana. Sebilangan besar graduan menyaksikan majlis tersebut secara langsung di Facebook.
Sementara itu, sesi berasingan akan diadakan untuk graduan di Miri pada 22 hingga 24 Mac dan Mukah dari 29 hingga 30 Mac ini.
Oleh JEAKQLEYN YACHO