Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Taylor Swift wanita termuda dalam ‘Songwriters Hall of Fame’
  • HIBURAN

Taylor Swift wanita termuda dalam ‘Songwriters Hall of Fame’

Utusan Sarawak 5 hours ago
TAYLOR Swift menjadi wanita termuda yang dimasukkan ke dalam Dewan Kemasyhuran Penulis Lagu di New York. Foto: AFP

NEW YORK, Amerika Syarikat: Penyanyi pop terkenal Amerika Syarikat, Taylor Swift, hari ini mencipta sejarah apabila menjadi wanita termuda yang pernah dimasukkan ke dalam ‘Songwriters Hall of Fame’ atau Dewan Kemasyhuran Penulis Lagu, sekali gus menambah satu lagi pencapaian dalam kerjaya gemilangnya yang penuh rekod.

Artis hanya layak dipertimbangkan ke Dewan Kemasyhuran itu selepas 20 tahun pelancaran lagu komersial pertama mereka. Swift memulakan kerjayanya dengan lagu Tim McGraw pada Jun 2006.

Sejak itu, beliau meraih pelbagai kejayaan dengan 12 album merangkumi genre country, pop dan folk, serta 14 Anugerah Grammy termasuk empat trofi Album Terbaik Tahunan.

Menurut biografi di laman web Dewan Kemasyhuran Penulis Lagu, Swift mempunyai kebolehan luar biasa untuk menyesuaikan gaya penulisan lagu merentas pelbagai genre muzik.

“Kebolehannya berubah sebagai penulis lagu, meneroka pelbagai dunia bunyi dan menulis dengan meyakinkan dalam setiap genre merupakan antara kekuatan utamanya,” menurut biografi tersebut.

“Ia juga mencerminkan keberanian seninya untuk meneroka hala tuju baharu apabila langkah paling mudah adalah untuk terus mengekalkan formula kejayaan sedia ada.”

TAYLOR Swift hadur di karpet merah Majlis Pelantikan Dewan Kemasyhuran Penulis Lagu yang diadakan di Hotel Marriott Marquis, New York hari ini. Foto: AFP

Swift hadir di karpet merah di New York hari ini dengan mengenakan gaun hitam tanpa tali bercorak bunga sebelum majlis pengiktirafan berlangsung.

Turut dimasukkan ke Dewan Kemasyhuran Penulis Lagu pada hari yang sama ialah anggota kumpulan rock KISS, iaitu Gene Simmons dan Paul Stanley, yang terkenal dengan lagu seperti Rock and Roll All Nite dan Detroit Rock City.

Stanley ketika ditanya mengenai perasaan menyertai kelompok penulis lagu berprestij itu berkata, “Ia sukar untuk dihadam. Saya tidak menganggap diri saya berada dalam kelompok penulis lagu hebat seperti itu, tetapi jika anda mahu berada dalam kumpulan itu, saya di dalamnya.”

Penyanyi Kenny Loggins, yang terkenal dengan lagu tema filem seperti Footloose dan Danger Zone daripada filem Top Gun, turut disenaraikan ke dalam acara tersebut.

“Ini satu penghormatan besar dan saya amat menghargainya,” kata Loggins kepada AFP. “Ia merupakan kemuncak kepada seluruh kehidupan saya dalam penulisan lagu, dan itu sangat bermakna.”

Penyanyi Kanada Alanis Morissette serta penerbit muzik Amerika Syarikat Walter Afanasieff turut berada dalam kalangan sembilan penulis lagu yang diterima masuk tahun ini.

Anggaran jualan global Swift di seluruh dunia melebihi 250 juta unit setara album. Jelajah konsert terbaharunya, The Eras Tour yang berlangsung pada 2023 dan 2024, mencatat kutipan kira-kira AS$2 bilion.

Beliau juga merupakan artis wanita dengan jumlah lagu paling banyak yang pernah memasuki 10 teratas carta Billboard.

Swift terus menjadi perhatian media. Selepas memperkenalkan lagu country untuk runut bunyi filem Toy Story 5, beliau turut hadir di perlawanan akhir NBA di Madison Square Garden semalam. – AFP

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Gabungan Malaysia-Indonesia hidupkan Teater Tarian Kuching Hitam

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.