KUCHING: Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) mengadakan lawatan ke Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) sempena program derma darah di tabung darah Pusat Rawatan Jagaan Harian HUS, baru-baru ini.
Rombongan tersebut diberikan taklimat mengenai perkhidmatan perubatan transfusi oleh Ketua Jabatan Perkhidmatan Transfusi dan Bank Darah, Dr Mohammad Masrin seterusnya membuat lawatan di sekitar kawasan makmal.
Tabung Darah HUS merupakan salah satu pusat kutipan darah negeri dibawah hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia. Ia menyediakan perkhidmatan kutipan, saringan, memproses dan menjadi rujukan kepada perkhidmatan transfusi perubatan bagi seluruh negeri Sarawak.
Justeru itu, ia bertanggungjawab untuk menyedia dan membekalkan darah yang mencukupi, selamat dan berkualiti kepada masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan status kewangan penerima.
Secara purata, hampir 70 beg darah diperlukan sehari untuk kegunaan lebih kurang 35 pesakit setiap hari. Jika di Bahagian Kuching termasuk hospital swasta, lebih kurang 400 beg darah diperlukan seminggu.
Peratus kutipan darah di tabung darah dan unit derma darah bergerak iaitu luar dari kawasan hospital menunjukkan tren yang sama iaitu sebanyak 25 peratus di tabung darah manakala di luar hospital adalah sebanyak 75 peratus.
Bukan itu sahaja, jumlah penganjur kempen derma darah bergerak yang aktif lebih 2 kali setahun mencatatkan jumlah sebanyak 149 penganjur di sekitar Bahagian Kuching dan Samarahan dan untuk penganjur baru adalah sebanyak 34 penganjur.
Oleh itu, pelaksanaan program ini merupakan titik permulaan bagi mewujudkan kolaborasi dan jaringan kerjasama antara ALPH dan pelbagai pihak bagi memastikan keberkesanan program pendermaan darah di hospital.
Hadir sama, Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr Ngian Hie Ung; Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat, Dr Bego Sepop dan kakitangan Hospital Umum Sarawak.
Oleh AINI ‘AFIFAH HAFIZ