PADAWAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang menyerahkan sumbangan makanan kepada penduduk di Kampung (Kpg.) Emperoh Jambu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, ia merupakan tanggungjawab dalam menjalankan tugas lebih-lebih lagi Kampung Emperoh Jambu adalah sebuah kampung di bawah jagaan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
“Saya mendapati penduduk di Kampung Emperoh Jambu ini memang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan sangat berdisiplin di mana semuanya tinggal di rumah.
“Ini adalah langkah-langkah yang berkesan untuk menghentikan penyebaran wabak pademik Covid-19 ini di samping itu kita berharap agar PKPD ini ditamatkan dan hasil ujian swab akan negatif,” katanya.
Tambah beliau lagi, Pengerusi Persatuan Pergerakan Kemajuan (PPPK) Kota Padawan, Albert Lee Joo Hee juga turut memberi sumbangan sebanyak 105 bungkus beras kepada penduduk kampung tersebut.
“Seramai 411 penduduk sedang menjalani PKPD bermula 23 Februari lalu hingga ke hari ini.
“Saya menyarankan agar penduduk setempat mengamal sikap bersabar dan tabah dalam memerangi penularan wabak Covid-19,” ujarnya pada Sabtu.
Dalam pada itu, penduduk Kampung Emperoh Jambu telah memberi kerjasama sepenuhnya dan mematuhi SOP yang ditetapkan.
Oleh JEAKQLEYN YACHO