Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Lawatan PM Anwar buka lembaran baharu dalam kerjasama teknologi dan tenaga Malaysia-Jepun
  • NASIONAL

Lawatan PM Anwar buka lembaran baharu dalam kerjasama teknologi dan tenaga Malaysia-Jepun

Utusan Sarawak 12 hours ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan rakan sejawatnya dari Jepun Sanae Takaichi pada sambutan rasmi lawatan beliau di Pejabat Perdana Menteri hari ini. Foto BERNAMA

TOKYO: Malaysia dan Jepun bersetuju untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan tenaga seiring dengan usaha berterusan Malaysia untuk menjadi hab serantau bagi teknologi termaju dan pembuatan bernilai tinggi.

Hasil utama lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Tokyo ialah persetujuan mewujudkan Platform AI Malaysia-Jepun yang akan menghimpunkan syarikat, syarikat pemula niaga dan institusi penyelidikan dari kedua-dua negara untuk bekerjasama dengan lebih erat dalam bidang AI, inovasi digital dan pembangunan bakat.

Kedua-dua negara turut bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam rantaian bekalan semikonduktor, teknologi hijau dan mineral kritikal bagi memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan mengurangkan kelemahan dalam rangkaian pembuatan global.

Dalam sektor tenaga, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) milik kerajaan dan syarikat penjanaan tenaga terbesar Jepun, JERA Co Inc, menandatangani perjanjian bekalan gas asli cecair (LNG) selama 20 tahun, memperkukuh kerjasama keselamatan tenaga jangka panjang antara kedua-dua negara.

Media tempatan melaporkan bahawa Jepun mengimport kira-kira 15 peratus LNG dari Malaysia, manakala Malaysia juga merupakan pembekal utama nafta dengan keupayaan penapisan sendiri.

Artikel oleh The Japan Times memetik Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi sebagai berkata bahawa kerjasama dengan Malaysia – sebagai pembekal LNG yang stabil kepada Jepun — adalah lebih penting daripada sebelumnya berikutan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam landskap tenaga global.

Malaysia dan Jepun turut bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam keselamatan maritim, pertahanan dan membanteras jenayah rentas sempadan di bawah rangka kerja Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) Jepun.

Kedua-dua negara bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa termasuk perkembangan di Timur Tengah, Iran, Palestin dan Myanmar serta memperkukuh sokongan untuk orde antarabangsa berasaskan peraturan dan kepusatan ASEAN.

Dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Jepun yang berakhir semalam, Anwar menggesa kerjasama pelbagai hala yang lebih kukuh selain mengingatkan mengenai peningkatan dasar perlindungan serta penggunaan perdagangan dan teknologi sebagai senjata politik dalam ucaptama di Forum Nikkei.

Sehari sebelumnya, beliau berucap di Universiti Tokyo, apabila beliau menekankan bahawa AI perlu berteraskan etika dan nilai-nilai kemanusiaan, dengan pertimbangan manusia kekal penting dalam membuat keputusan.

Perdana Menteri turut bertemu dengan peneraju perniagaan Jepun untuk membincangkan peluang pelaburan dalam semikonduktor, teknologi termaju dan ekonomi digital dalam usaha Malaysia yang berterusan untuk meningkatkan rantaian nilai global.

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Universiti Tokyo  Prof Teruo Fujii dan Pengerusi Sasakawa Peace Foundation Tan Sri Yohei Sasakawa, dengan kedua-dua pihak membincangkan mengenai pendidikan, AI, pembangunan belia dan isu-isu kemanusiaan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia berkata lawatan itu mencapai matlamat utamanya untuk memperkukuh hubungan dua hala, memperluas kerjasama dalam sektor strategik serta menarik pelaburan dan perdagangan berkualiti tinggi.

“Saya meninggalkan Negara Matahari Terbit ini dengan penuh keyakinan bahawa persahabatan Malaysia-Jepun yang telah lama terjalin akan terus berkembang merentasi generasi dan membawa kemakmuran kepada kedua-dua negara,” kata beliau.

Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong.- Bernama

Continue Reading

Previous: Tribunal bagi Antigangguan Seksual berjaya selesaikan 80 aduan dalam tempoh 60 hari
Next: El Nino: NRES adakan libat urus bersama kerajaan negeri, pastikan persediaan awal- Akmal

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.