
SIMANGGANG: Kecemerlangan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke, Sri Aman yang memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diraikan menerusi satu majlis penghargaan yang berlangsung di sekolah berkenaan hari ini.
Dua pelajar terbabit, Calvin Stevenson Unggang Saleh yang bercita-cita menjadi guru serta Nurin Damia Danisyah Karim, menerima pengiktirafan daripada Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA) atas pencapaian membanggakan mereka.
Pengerusi jawatankuasa tersebut, Gerald Empaling, hadir menyampaikan ucapan tahniah dan sumbangan sebagai tanda penghargaan serta galakan kepada kedua-dua pelajar untuk meneruskan kecemerlangan di peringkat pengajian tinggi.
Menurut beliau, kejayaan yang dicapai bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik, malah membuktikan hasil usaha gigih, disiplin tinggi dan komitmen berterusan sepanjang tempoh persekolahan.

“Pencapaian cemerlang dalam SPM bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan ketekunan, semangat juang dan kesungguhan yang tinggi untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Gerald yang juga alumni SMK Saint Luke berkata, sokongan padu daripada keluarga dan warga sekolah turut memainkan peranan penting dalam membantu pelajar mencapai prestasi cemerlang, di samping kebolehan mereka mengimbangi akademik serta aktiviti kokurikulum.
Sebagai seorang pengamal undang-undang dan bekas majistret, beliau turut menasihati pelajar agar terus mengekalkan nilai murni dan sahsiah terpuji walaupun telah mencapai kejayaan akademik yang membanggakan.
Katanya, sikap rendah diri, menghormati orang lain dan sentiasa berusaha memperbaiki diri merupakan kualiti penting yang akan membantu mereka menjadi individu berjaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara pada masa hadapan.
Beliau turut berharap kejayaan kedua-dua pelajar itu dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda lain untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
Majlis tersebut turut dihadiri Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Wellesley Albert, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Roland Laka, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Demendraa John Pillai serta wakil pelajar SMK Saint Luke.
Oleh Adi Safarman