
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, menggesa rakyat Sarawak agar terus menyokong kepimpinan yang mengutamakan kestabilan, pembangunan dan kepentingan jangka panjang negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Yap, peningkatan aktiviti politik menjelang pilihan raya merupakan perkara biasa apabila pelbagai parti politik dan individu mula mempergiatkan kehadiran mereka dalam komuniti setempat.
Namun, beliau menggesa rakyat menilai wakil rakyat berdasarkan rekod perkhidmatan dan komitmen berterusan mereka kepada masyarakat, bukannya semata mata aktiviti yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.
“Rakyat Sarawak berhak mendapat pemimpin yang sentiasa bersama masyarakat sepanjang masa, bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan pertubuhan komuniti untuk menyelesaikan isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, isu seperti mitigasi banjir, penambahbaikan sistem perparitan, penyelenggaraan jalan raya, kemudahan awam dan kebajikan masyarakat memerlukan komitmen yang berterusan serta kerjasama semua pihak, dan bukannya penglibatan politik yang bersifat sementara.
Yap berkata perjalanan politik Sarawak sentiasa dipandu oleh keunikan negeri ini, kepelbagaian masyarakatnya serta aspirasi untuk mencapai kemajuan ekonomi dan autonomi yang lebih besar.
“Kekuatan Sarawak terletak pada perpaduan, kestabilan dan keupayaan kita melaksanakan dasar yang selaras dengan keperluan serta keutamaan rakyat.
“Pendekatan politik kita sentiasa tertumpu kepada melindungi kepentingan Sarawak sambil mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), negeri ini telah mencatat pelbagai kemajuan dalam memperkukuh ekonomi, meningkatkan hasil negeri, memperjuangkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menarik pelaburan dan melaksanakan pelan pembangunan jangka panjang.
Menurutnya, usaha tersebut membolehkan Sarawak melabur dalam sektor penting seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur digital, di samping mewujudkan lebih banyak peluang kepada generasi akan datang.
“Kemajuan yang dicapai hari ini adalah hasil daripada kestabilan politik, tadbir urus yang baik dan tumpuan yang jelas terhadap pembangunan. Asas ini perlu terus dipelihara demi memastikan pertumbuhan Sarawak berterusan,” katanya.
“Akhirnya, masa depan Sarawak perlu terus ditentukan oleh rakyat Sarawak sendiri. Kita mesti kekal bersatu dalam melaksanakan dasar dan inisiatif yang mampu memperkukuh ekonomi, meningkatkan infrastruktur, mempertahankan hak negeri serta mewujudkan masa depan yang lebih cerah untuk semua,” katanya.
Yap turut mengingatkan pengundi supaya menilai dengan teliti kepimpinan dan dasar yang diyakini mampu membawa kestabilan, pembangunan dan kemakmuran berterusan kepada negeri ini.
“Dengan kekal bersatu dan memberi tumpuan kepada matlamat bersama, Sarawak mampu meneruskan pencapaiannya serta memastikan pembangunan yang mampan untuk generasi akan datang.
“Kestabilan, perpaduan dan pembangunan mesti terus menjadi keutamaan kita dalam melangkah maju bersama sebagai satu Sarawak,” katanya.
Oleh Connie Chieng