Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Autisme bukan penghalang, Rayqal kejar impian sukan berkuda
  • RENCANA
  • TEMPATAN

Autisme bukan penghalang, Rayqal kejar impian sukan berkuda

Utusan Sarawak 10 hours ago
BERMULA dengan minat menonton video sukan berkuda, Aryan Rayqal Abadi, 14, kini semakin menyerlah dalam arena berkuda hasil terapi, latihan dan sokongan keluarga. Foto Mohamad Shaiful Rizal Saed dan Siti Nur Syahuda Abd Karim

KUALA LUMPUR: Bermula daripada minat menonton video sukan berkuda di YouTube, seorang remaja autistik tahap ringan membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuk mengejar impian dalam bidang yang diminatinya.

Aryan Rayqal Abadi Mohamad Shaiful Rizal, 14, yang didiagnosis mengalami autisme tahap ringan ketika berusia tujuh tahun, kini semakin menyerlah dalam sukan berkuda selepas mengikuti terapi dan latihan secara konsisten sejak 2023.

Bapanya Mohamad Shaiful Rizal Mohamad Saed, 41, berkata minat mendalam Rayqal terhadap kuda mula dikesan apabila anak sulungnya itu menghabiskan banyak masa menonton video berkaitan sukan berkenaan serta mampu mengingati pelbagai maklumat tentang haiwan tersebut.

“Dia bukan sekadar suka menonton, tetapi sanggup membuat kajian sendiri mengenai kuda dan boleh mengingati hampir 30 ekor nama kuda di Papan Roses Horse Park. 

“Selepas sebulan mengikuti terapi berkuda, jurulatih mula melihat potensi yang ada pada Rayqal. Dari situ Rayqal beralih ke kelas cara menunggang kuda dengan betul,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak lelaki, Aryan Isa Asadel berusia lima tahun.

AUTISME bukan penghalang, malah menjadi kekuatan buat Aryan Rayqal Abadi untuk terus mengejar impian dalam sukan berkuda. Foto Mohamad Shaiful Rizal Saed dan Siti Nur Syahuda Abd Karim

Menurut Mohamad Shaiful Rizal, anaknya menunjukkan tanda-tanda kelainan sejak kecil apabila kurang bergaul, kerap mengalami tantrum dan sering mengepakkan tangan ketika terlalu teruja. 

“Sebagai ibu bapa, sudah tentu kami melalui pelbagai cabaran dalam membesarkan anak istimewa ini yang memerlukan kesabaran, komitmen dan pengorbanan, namun kami percaya setiap anak mempunyai kelebihan tersendiri jika diberi peluang dan sokongan yang betul,” katanya. 

Sementara itu, ibunya Siti Nur Syahuda Abd Karim ,40, berkata Rayqal pada awalnya berdepan kesukaran untuk memberi tumpuan dan memahami arahan ketika mengikuti terapi berkuda.

Bagaimanapun, perubahan ketara mula berlaku apabila dia berinteraksi dengan kuda-kuda kesayangannya yang dikenali sebagai Saloma, Benita dan Alpha.

SEMANGATNYA menjadi inspirasi bahawa setiap anak istimewa mempunyai potensi tersendiri. Foto Mohamad Shaiful Rizal Saed dan Siti Nur Syahuda Abd Karim

“Rayqal sebenarnya sangat gayat dan takut pada ketinggian. Dia sampai hari ini tidak berani mengayuh basikal, tetapi apabila menunggang kuda dia menjadi sangat tenang dan gembira. Walaupun pernah beberapa kali jatuh, dia tetap bersemangat untuk terus cuba belajar,” katanya. 

Menurut suri rumah itu, sukan berkuda bukan sahaja membantu meningkatkan fokus dan disiplin Rayqal, malah membina keyakinan dirinya untuk berinteraksi dengan orang lain. 

Beliau berkatanya anaknya kini memasang impian untuk menjadi atlet lompat berkuda profesional serta mewakili negeri dan negara suatu hari nanti. 

Jurulatih di Papan Roses Horse Park Muhammad Akmal Arsyad Mohd Rosli, 22, berkata perkembangan yang ditunjukkan Rayqal membuktikan kanak-kanak autistik juga mampu cemerlang apabila diberikan ruang dan bimbingan yang sesuai.

“Pada peringkat awal agak sukar untuk mendapatkan perhatian dan berinteraksi dengannya, tetapi sekarang Rayqal semakin yakin serta konsisten semasa menjalani latihan.

“Setiap anak autistik mempunyai cabaran berbeza.  Yang penting ialah kesabaran, kefahaman dan sokongan berterusan,” katanya yang telah berkecimpung dalam sukan berkuda sejak 10 tahun lepas.

Beliau berkata persepsi  sukan berkuda hanya sesuai untuk golongan tertentu juga semakin berubah apabila kian ramai ibu bapa melihat manfaat aktiviti itu dalam membentuk disiplin, kestabilan emosi dan keyakinan diri anak-anak. 

Muhammad Akmal Arsyad berharap kisah Rayqal dapat menjadi inspirasi kepada ibu bapa yang mempunyai anak autistik supaya tidak takut mencuba pendekatan baharu dalam membantu perkembangan anak mereka. – Bernama

Continue Reading

Previous: Sarawak sasar lebih banyak penerbangan terus dari China
Next: Sarawak perlu terus utamakan kestabilan, perpaduan dan pembangunan – Wilfred Yap

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.