
KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan berhubung kes samun berkumpulan menggunakan senjata yang berlaku di Jalan Song Thian Cheok, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 31 Mei lalu, kira-kira 12.02 pagi.
“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan yang dijalankan, sepasukan polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an semalam pada kira-kira 11.45 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 berwarna putih yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
“Mahkamah Majistret Kuching telah meluluskan permohonan reman terhadap suspek selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Alexson berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan,” jelasnya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kediaman dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera serta memastikan pintu dan pagar sentiasa berkunci, khususnya pada waktu malam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444.
Oleh Connie Chieng