Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Piala Dunia 2026 bermula di sebalik cabaran politik dan harga tiket tinggi
  • SUKAN

Piala Dunia 2026 bermula di sebalik cabaran politik dan harga tiket tinggi

Utusan Sarawak 5 hours ago
GAMBAR fail menunjukkan pandangan dari udara Stadium Mexico City, dijenamakan semula daripada Stadium Azteca (atau Stadium Banorte) bagi Piala Dunia FIFA, di Mexico City pada 28 Mei 2026. Foto AFP

MEXICO CITY: Piala Dunia 2026 akan membuka tirainya pada awal pagi Jumaat ini dengan badan induk bola sepak dunia, FIFA, mempertaruhkan bahawa daya tarikan kejohanan terbesar dunia itu mampu mengatasi kemarahan peminat terhadap harga tiket yang melambung tinggi, suasana politik yang tidak menentu di Amerika Syarikat di bawah Presiden Donald Trump serta bayangan konflik di Asia Barat.

Sebanyak 48 pasukan dan jutaan peminat dijangka membanjiri Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico bagi edisi pertama Piala Dunia yang dianjurkan bersama oleh tiga negara, sekali gus menjadikannya kejohanan terbesar dan paling kompleks dari segi logistik dalam sejarah.

Aksi pembukaan akan berlangsung di Stadium Azteca yang ikonik di Mexico City pada Khamis, apabila tuan rumah bersama, Mexico, menentang Afrika Selatan pada 3.00 petang waktu tempatan.

Kejohanan yang berlangsung hampir enam minggu itu akan berakhir dengan perlawanan akhir di Stadium MetLife, New Jersey, yang berkapasiti 82,500 penonton pada 19 Julai.

Antara persoalan utama yang menjadi tumpuan ialah sama ada kapten Argentina, Lionel Messi, yang kini berusia 38 tahun, mampu mengukuhkan statusnya sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dengan memimpin negaranya mempertahankan kejuaraan dunia.

Pada masa sama, seteru lamanya, Cristiano Ronaldo yang berusia 41 tahun, turut berpeluang mencipta sejarah dengan membantu Portugal menjulang trofi Piala Dunia buat kali pertama.

England pula berharap dapat menamatkan penantian selama 60 tahun untuk meraih gelaran utama antarabangsa kedua selepas kejayaan mereka menjuarai Piala Dunia 1966, dengan Harry Kane dijangka menjadi tonggak utama pasukan itu.

Semua persoalan tersebut akan terjawab sepanjang kejohanan yang digambarkan Presiden FIFA, Gianni Infantino, sebagai “pertunjukan terhebat yang pernah disaksikan dunia”.

Kemarahan Terhadap Harga Tiket

Bagaimanapun, keyakinan Infantino berdepan pelbagai cabaran menjelang sepak mula kejohanan susulan kebimbangan mengenai kos, politik dan konflik antarabangsa.

Kenaikan mendadak harga tiket mencetuskan kritikan meluas di seluruh dunia dan menyukarkan FIFA mempertahankan dasar penetapan harga mereka.

Tiket paling mahal untuk perlawanan akhir Piala Dunia 2022 dijual pada harga kira-kira AS$1,600 (RM6,800), manakala bagi edisi 2026, tiket paling mahal yang ditawarkan FIFA mencecah AS$32,970 (RM140,000).

Peningkatan harga itu turut berlaku dalam kebanyakan daripada 104 perlawanan kejohanan, dengan banyak tiket masih dijual semula di pasaran sekunder meskipun permintaannya tinggi.

Malah, Trump sendiri mengakui harga tiket terlalu mahal apabila dimaklumkan bahawa tiket bagi perlawanan pembukaan Amerika Syarikat menentang Paraguay di Los Angeles pada Jumaat berharga sekitar AS$1,000 (RM4,250).

“Sejujurnya, saya juga tidak akan membayarnya,” kata Trump kepada New York Post.

Isu Politik Dan Visa

Selain kos perjalanan yang tinggi, sebahagian pihak turut mempersoalkan sama ada suasana politik semasa di Amerika Syarikat akan menjejaskan kemeriahan kejohanan itu.

Pertubuhan Human Rights Watch menyatakan tindakan keras pentadbiran Trump terhadap imigresen, demonstrasi dan kebebasan media berpotensi menyebabkan Piala Dunia kali ini dicemari unsur “pengecualian dan ketakutan”.

Kebimbangan itu bertambah apabila FIFA menggugurkan pengadil dari Somalia, Omar Artan, selepas beliau dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat.

Artan sepatutnya menjadi pengadil pertama dari Somalia yang bertugas pada kejohanan bola sepak terbesar dunia, namun diarahkan pulang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami pada Sabtu lalu.

FIFA memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan tersebut dan terpaksa menggugurkan Artan daripada senarai 52 pengadil kejohanan.

Konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran yang tercetus sejak Februari lalu turut membayangi kejohanan, khususnya apabila Iran dijadualkan beraksi dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan di Amerika Syarikat.

Pada awalnya, Trump mencadangkan Iran menarik diri daripada kejohanan atas faktor keselamatan, sebelum menarik balik kenyataan tersebut.

Iran kemudiannya memindahkan kem latihan mereka dari Tucson, Arizona ke bandar Tijuana di Mexico. Walaupun pemain Iran dibenarkan keluar masuk Amerika Syarikat, seramai 15 pegawai pentadbiran dan pengurusan pasukan dilaporkan gagal memperoleh visa, tindakan yang disifatkan pihak berkuasa Iran sebagai layanan yang sengaja bersifat diskriminasi.

Format Baharu Dan Peraturan Tambahan

Di atas padang, keputusan FIFA menambah jumlah pasukan daripada 32 kepada 48 pasukan dijangka mengurangkan elemen persaingan sengit pada peringkat kumpulan.

Sebanyak 72 perlawanan perlu dimainkan pada pusingan pertama untuk menyingkirkan hanya 12 pasukan, manakala 32 pasukan akan mara ke pusingan kalah mati.

Kejohanan kali ini juga menyaksikan beberapa pembaharuan. Buat pertama kali dalam sejarah Piala Dunia, setiap perlawanan akan mempunyai rehat penyejukan pada pertengahan setiap separuh masa bagi mengurangkan kesan cuaca panas dan kelembapan tinggi di kebanyakan venue.

Pemain dan pengadil turut perlu menyesuaikan diri dengan beberapa peraturan baharu, termasuk kewajipan membuat pertukaran pemain dalam tempoh 10 saat bagi mengelakkan pembaziran masa.

Dalam usaha membanteras perbuatan berunsur perkauman, pemain juga berisiko dilayangkan kad merah jika menutup mulut menggunakan tangan, lengan atau jersi ketika berdepan lawan dalam situasi konfrontasi.

Sementara itu, perlawanan akhir bulan depan dijangka menjadi antara yang paling panjang dalam sejarah apabila FIFA memperkenalkan persembahan khas separuh masa ala Super Bowl yang akan menampilkan Madonna, Shakira dan kumpulan BTS.

Persembahan itu menyebabkan tempoh rehat separuh masa dilanjutkan daripada 15 minit kepada kira-kira 25 minit. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Kecederaan Ee Wei jejaskan perancangan Nova hadapi Kejohanan Dunia, Sukan Asia
Next: Piala Dunia: Pasukan Jepun berlatih di depan 5,000 peminat di Nashville

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.