Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kerajaan Sarawak perkukuh perlindungan tanah NCR, dakwaan pembangkang tidak berasas – Uggah
  • TEMPATAN

Kerajaan Sarawak perkukuh perlindungan tanah NCR, dakwaan pembangkang tidak berasas – Uggah

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATUK Amar Douglas Uggah Embas pada majlis sambutan Gawai Dayak 2026 Bukit Semuja di Kampung Riih Daso, semalam. Foto Pejabat Timbalan Premier Sarawak

SERIAN: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menepis dakwaan pembangkang bahawa kerajaan Sarawak tidak mengambil berat terhadap kepentingan Tanah Adat Bumiputera (NCR), sebaliknya menegaskan pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi memperkukuh perlindungan hak pemilik tanah di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memandang serius isu berkaitan tanah NCR memandangkan tanah merupakan aset yang amat bernilai kepada masyarakat Dayak dan perlu dipelihara demi kepentingan generasi akan datang.

Menurutnya, komitmen tersebut dibuktikan melalui pelbagai usaha termasuk pindaan Kanun Tanah Sarawak pada 2018 yang mengiktiraf Pulau Galau dan Pemakai Menoa, sekali gus memperkukuh perlindungan hak tanah adat masyarakat tempatan.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas pada majlis sambutan Gawai Dayak 2026 Bukit Semuja di Kampung Riih Daso, semalam. Foto Pejabat Timbalan Premier Sarawak

“Bukan main pembangkang menuduh kita tidak pedulikan harta kaum Dayak. Kita tahu tanah adalah satu harta yang cukup berharga untuk kaum Dayak.

“Apa kami buat? Kami usaha bersungguh-sungguh dan pada 2018, kita meminda undang-undang tanah di mana kita mengiktiraf Pulau Galau dan adat pemakai menoa,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Gawai Dayak 2026 Bukit Semuja di Kampung Riih Daso, di sini, malam tadi.

Uggah berkata, pengiktirafan terhadap Pulau Galau dan Pemakai Menoa menerusi pindaan Kanun Tanah Sarawak merupakan langkah penting kerajaan dalam memperkukuh perlindungan hak tanah adat serta memberikan kepastian kepada pemilik tanah NCR di seluruh Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain termasuk mempercepatkan proses penyukatan tanah, pewartaan kawasan yang berkaitan serta pengeluaran hak milik bagi memastikan hak pemilik tanah adat terus terpelihara dan diurus dengan lebih sistematik.

Menurutnya, pelbagai langkah yang telah dilaksanakan itu membuktikan bahawa dakwaan pembangkang kononnya kerajaan negeri mengabaikan isu tanah NCR adalah tidak berasas.

Dalam pada itu, Uggah menegaskan bahawa tiada rakyat Sarawak akan dipinggirkan daripada arus pembangunan kerana kerajaan negeri komited memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi atau latar belakang.

Katanya, prinsip tersebut menjadi asas kepada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Tiada sesiapa yang akan dipinggirkan. Itu bukan retorik, ini semua telah dirancang, diikuti dengan polisi dan tindakan, sebab itulah kita dapat melihat banyak pembangunan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut diterjemahkan menerusi penubuhan agensi-agensi pembangunan wilayah yang berperanan mempercepat pelaksanaan projek pembangunan di seluruh Sarawak termasuk di kawasan luar bandar.

Menurutnya, setiap agensi pembangunan wilayah turut menerima peruntukan yang besar bagi melaksanakan projek infrastruktur, kemudahan awam serta inisiatif peningkatan ekonomi rakyat demi memastikan pembangunan dapat dinikmati secara lebih seimbang dan menyeluruh.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Selain itu Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan; serta ADUN Serembu, Dato Miro Simuh.

Oleh Adi Safarman

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Presiden Mexico janji pembukaan Piala Dunia berlangsung aman
Next: Undang-undang syariah asas pembinaan peradaban masyarakat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.