
MUKAH: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan dua remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di Bandar Mukah pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kedua-dua remaja terbabit iaitu Easter Agnes David dan Frocilea Rajok Jessica dilaporkan hilang pada 8 Jun.
Menurutnya, Easter yang berasal dari Rumah Jali, Batu 15, Jalan Selangau-Mukah mempunyai ciri-ciri fizikal berbadan kurus, muka bulat, kulit putih, rambut lurus dan berketinggian kira-kira 160 sentimeter.
Katanya, ketika kali terakhir dilihat, Easter memakai baju lengan pendek berkolar bulat berwarna oren, seluar panjang putih dan selipar hitam.

Sementara itu, Frocilea yang berasal dari Rumah Nelson Chuat Begeri, KM59, Jalan Mukah-Selangau pula berbadan kurus, berwajah bujur, berkulit sawo matang, berambut lurus dan berketinggian kira-kira 165 sentimeter.
“Ketika kali terakhir dilihat, Frocilea memakai baju lengan pendek berkolar bulat berwarna hijau dan putih, seluar panjang hitam serta selipar putih.
“Kedua-dua mereka merupakan rakan sekolah dan kali terakhir dilihat oleh ibu masing-masing di Bandar Mukah sekitar 1.30 petang pada 7 Jun 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua remaja berkenaan dipercayai tidak mahu mendaftar masuk ke asrama dan dipercayai mengikut rakan lain sebelum menghilangkan diri.
“Usaha mencari telah dijalankan di sekitar bandar Mukah, namun mereka masih belum ditemui. Telefon bimbit kedua-dua remaja itu juga tidak dapat dihubungi,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan kedua-dua remaja berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Alexander Constantine di talian 013-5073256 atau IPD Mukah di talian 084-871222, atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Tarani Lanting