
LAWAS: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Limbang telah mengeluarkan notis berhubung tekanan air rendah bagi Daerah Lawas.
“Punca tekanan air rendah adalah disebabkan paras air sungai kritikal di muka sauk Loji Rawatan Air Wilayah Trusan akibat musim kemarau berpanjangan.
“Seluruh kawasan Lawas mengalami tekanan air rendah, terutamanya kawasan yang jauh dari Loji Air Wilayah Trusan dan kawasan berbukit dan tinggi,” kata kenyataan tersebut.
Pihak JBALB Bahagian Limbang telah mengambil pelan tindakan dengan melakukan kerja kecemasan dan sedang giat menjalankan kerja mengorek dan mendalamkan Sungai Trusan bagi memulihkan aliran air ke muka sauk secepat mungkin.
Pada masa sama bantuan lori tangki disediakan bagi penghantaran air bersih secara berperingkat ke kawasan terjejas keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik dan sekolah.
Sehubungan itu pihak JBALB Bahagian Limbang menyarankan penduduk menyimpan bekalan air secukupnya apabila menerima aliran air terutama pada waktu malam dan luar waktu puncak.
Selain itu pengguna diharap dapat memanfaatkan penggunaan air secara berhemat dan elakkan pembaziran sepanjang tempoh kemarau ini.
Untuk bantuan kecemasan atau pertanyaan lanjut, sila hubungi Call Centre JBALB Sarawak di talian 082-262211.
Oleh Adeng Edrus