
MIRI: Semangat perayaan yang masih dirasai selepas sambutan Aidiladha, Hari Gawai dan cuti sekolah diteruskan menerusi penganjuran Rumah Terbuka Malam Serumpun Miri Kita pada 14 Jun ini.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, program yang akan berlangsung di FORUM Cultural Centre, Jalan Padang Kerbau di sini bermula 5.00 petang hingga 8.00 malam itu dianjurkan bagi menghimpunkan warga Miri daripada pelbagai latar belakang dalam suasana penuh harmoni dan muhibah.
Menurut beliau, rumah terbuka berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat menikmati pelbagai juadah dan persembahan kebudayaan, malah menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara kaum serta memupuk semangat perpaduan.
“Program ini mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi identiti warga Miri.
“Walaupun berbeza bangsa, budaya dan agama, kita tetap berkongsi nilai hormat-menghormati serta semangat kekitaan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, selaras dengan tema Malam Serumpun Miri Kita, program itu diharap dapat mengeratkan hubungan masyarakat selain meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi kebanggaan Sarawak.
Tambahnya, penganjuran program tersebut turut menyokong usaha mempromosikan kempen Lawat Malaysia 2026 dengan menampilkan keunikan budaya dan keharmonian masyarakat majmuk yang terdapat di Miri.
“Keunikan masyarakat pelbagai kaum yang hidup dalam suasana aman dan harmoni ini merupakan antara tarikan utama yang mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke Miri serta Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menjemput orang ramai hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan program berkenaan yang dijangka menjadi medan pertemuan masyarakat dalam suasana penuh kemesraan dan perpaduan.
Oleh Liong Chai Ling