
KUALA KANGSAR: Sabar. Perkataan ini menjadi kata kunci yang dipegang oleh sekumpulan Orang Asli suku Semai di Ulu Bekor di sini, dalam mengusahakan madu lebah kelulut sejak 2024, meskipun pulangan yang diraih masih belum stabil.
Projek Ladang Kelulut Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Ulu Bekor itu bermula dengan 16 orang, namun satu demi satu peserta mengubah haluan dalam tempoh setahun selepas projek dijalankan dan kini hanya tujuh orang masih “setia”.

“Perlu sabar kerana perusahaan madu kelulut ini mengambil masa untuk mendatangkan hasil, dan itu antara cabaran utama. Ramai yang berhenti separuh jalan sebab lambat dapat hasil. Mereka buat kerja lain atau cari rezeki di tempat lain,” kongsi pengerusi projek Pandak Uda Bada semasa ditemui Bernama baru-baru ini.
Ulu Bekor yang terletak kira-kira 34 kilometer dari pekan Kuala Kangsar mempunyai dua buah petempatan Orang Asli, iaitu Kampung Orang Asli (KOA) Mendering dan KOA Balang.
Projek itu diusahakan secara berkelompok melibatkan penduduk kedua-dua buah kampung menerusi inisiatif Program SejaTi MADANI yang menyalurkan geran sekali beri berjumlah RM100,000 pada 2024, untuk mereka memulakan projek tersebut.

MANFAATKAN BIODIVERSITI HUTAN
Menurut Pandak Uda, 62, yang juga Tok Batin KOA Balang, idea mengusahakan madu lebah kelulut itu dicetuskan oleh Tok Batin KOA Mendering Uda Awai Busu Kechek, 70, yang melihat potensi kekayaan biodiversiti hutan Ulu Bekor yang juga habitat asal lebah spesies berkenaan.
“Sejak diusahakan pada Ogos 2024, jumlah pendapatan terkumpul cuma RM20,250. Memang tidak banyak. Dari segi bulanan pula, kadang-kadang mencecah RM2,000 (keseluruhan) tapi bergantung pada keadaan.
“Kalau cuaca buruk, hujan berterusan seperti awal tahun lepas, kami tak dapat tuai madu, jadi tidak ada pendapatan,” kongsinya, menambah koloni lebah di sarang baharu mengambil masa sekitar enam bulan untuk menghasilkan kantung madu dan seterusnya madu dengan kitaran tuaian selang 40 hari.

Pun begitu, kata Pandak Uda, dia tidak akan berputus asa kerana potensi ekonomi madu kelulut adalah besar jika diusahakan dengan betul.
“Saya kena ambil perhatian dan belajar cara-cara mengatasi masalah di dalam ladang ini. Walaupun mencabar, dalam hati kecil saya, saya memang minat menjaga madu kelulut ini dan nekad untuk meneruskannya,” katanya telah menerajui JPKKOA selama tiga penggal.

Menurutnya, antara masalah utama dalam membela kelulut ialah serangga itu memerlukan cuaca redup untuk keluar mengumpul nektar.
“Kalau hujan berterusan pula lebah tidak akan keluar cari nektar, selain ada risiko koloni lebah lari meninggalkan sarang dan mencari kawasan baharu yang lebih selamat. Oleh sebab itulah tidak ada tuaian madu dalam tempoh November hingga Januari.
“Di samping itu, kita juga berdepan dengan ancaman haiwan dan serangga perosak seperti monyet, lalat askar hitam, tebuan dan kumbang,” jelasnya lagi.
Menurut Pandak Uda, usaha itu bukan sekadar menjana pendapatan sampingan kerana mereka turut memanfaatkan madu untuk kegunaan sendiri.
“Saya sendiri mengamalkan minum madu kelulut bersama-sama dengan air lemon setiap pagi. Walaupun sudah berusia 62 tahun, saya masih bertenaga untuk menoreh getah di tiga tempat berbeza sebelum masuk ke ladang kelulut pada 7.00 pagi untuk membersihkan kawasan dan memantau ancaman cicak atau tebuan,” kongsinya.

KEISTIMEWAAN MADU PESISIR HUTAN
Sementara itu, Penyelaras Projek SejaTi MADANI JPKKOA Ulu Bekor Muhamad Fahmi Md Noor, 33, berkata projek tersebut dijalankan di atas kawasan seluas lima ekar dengan tiga ekar digunakan secara intensif untuk ladang madu kelulut. (Satu ekar bersamaan dengan 0.4 hektar).
“Ladang ini terletak dalam kawasan kebun getah dan berhampiran dengan hutan kerana, lebah kelulut memerlukan tiga sumber utama sebagai makanan, iaitu resin (damar), nektar dan polen (debunga),” jelasnya.
Muhamad Fahmi yang mewakili Pertubuhan Komuniti Muslim Ulu Bekor serta berperanan sebagai pemudah cara dalam urusan dan hal ehwal Orang Asli beragama Islam di kawasan itu, berkata buat masa ini mereka mengusahakan 50 log, iaitu rumah lebah yang diperbuat daripada batang kayu hutan.
“Log ini menempatkan pelbagai spesies lebah kelulut, antaranya Heterotrigona itama (spesies utama), Geniotrigona thoracica (spesies terbesar dan paling mahal harganya), Lophotrigona canifrons (spesies yang dikenali kerana sifatnya yang agresif), Fimbriata dan Apicalis (spesies damar) dan Terminata (spesies bersaiz kecil),” jelasnya.
Tambah beliau lagi, setiap log asli yang berharga RM200 ke RM1,000 setiap satu bergantung pada spesies lebah yang diternak, dibeli daripada penduduk kawasan sekitar termasuk komuniti Orang Asli sendiri.
Menurut Muhamad Fahmi, madu kelulut yang diusahakan oleh Orang Asli itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding madu kelulut keluaran tempat lain kerana diternak berhampiran habitat asal yang turut memberikan nama kepada madu keluaran mereka, iaitu Madu Kelulut Pesisir Hutan.

“Kami berani memberi jaminan keaslian 100 peratus madu keluaran kami tanpa sebarang campuran. Pendekatan kami adalah dengan membawa pelanggan datang sendiri ke ladang untuk merasai madu daripada sarang bagi membina kepercayaan,” jelasnya.
Beliau berkata madu yang dikeluarkan oleh mereka ditawarkan dalam dua bentuk, iaitu madu mentah dan madu sejat.
“Madu mentah disimpan di dalam peti sejuk bagi mengekalkan kualiti memandangkan kandungan airnya melebihi 20 peratus, berbeza dengan madu sejat yang diproses mengikut standard Akta Makanan 1983 untuk simpanan suhu bilik,” ujarnya.
Madu-madu tersebut dijual pada harga serendah RM10 bagi botol kecil hingga RM300 bagi saiz satu kilogram.
“Selain itu, komuniti juga menghasilkan produk hiliran seperti sabun mandi dan sabun muka yang diperbuat daripada propolis dan ‘bee bread’ (roti lebah),” tambah beliau.

VISI HAB KELULUT 2030
Mengulas perancangan masa depan, Muhamad Fahmi berkata pihaknya menyasarkan Ulu Bekor untuk menjadi hab pengeluaran madu kelulut utama di perkampungan Orang Asli negeri Perak menjelang 2030 dengan sasaran 900 log.
“Kebanyakan Orang Asli sebelum ini hanya menjadi pembekal log kayu kepada pengusaha luar. Hasrat kami adalah supaya mereka sendiri yang menjaga dan mendapat hasil sepenuhnya daripada sumber hutan mereka.
“Kami sedang memohon kerjasama strategik dengan RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) untuk meluaskan pasaran dan mendapatkan pengesahan ketulenan daripada pihak seperti MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) bagi tujuan pelabelan mengikut Akta Makanan 1983,” katanya.
Bagi menyokong ekopelancongan dan akses ke ladang, beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran telah membina jalan tar mini sepanjang lebih satu kilometer pada 2025, sekali gus memudahkan orang ramai untuk ke kawasan ladang menaiki kenderaan biasa.
Beliau berkata selain bantuan SejaTi MADANI, pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli turut memberikan komitmen untuk menambah 30 lagi log pada tahun ini serta membantu dari segi pemasaran melalui siri pameran usahawan di peringkat negeri dan kebangsaan, termasuk Karnival Usahawan Orang Asli di Melaka pada tahun lepas.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan Madu Kelulut Asli Ulu Bekor boleh layari laman sosial rasmi mereka di Facebook, TikTok dan YouTube. – Bernama