Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Percubaan tanaman gentian (fiber) di Sarawak
  • KOLUMNIS

Percubaan tanaman gentian (fiber) di Sarawak

Utusan Sarawak 5 hours ago

USAHA meningkatkan ekonomi Sarawak dan sejajar dengan perkembangan ekonomi dunia telah memperkenalkanSarawak dengan tanaman komersial yang pelbagai. 

Selain getah, salah satu lagi tanaman komersial yang cuba diperkenalkan di Sarawak adalah tanaman gentian seperti abaka (Musa textilis).

Tanaman ini berasal dari Filipina dan banyak digunakan oleh penduduk di kawasan tersebut untuk membuat beberapa hasilan bagi kegunaan harian seperti pakaian, tali, kain, pakaian dan jaring menangkap ikan. 

Tumbuhan ini datang daripada keluarga pisang-pisangan. Apabila orang Barat sampai ke Asia Tenggara, penggunaan tanaman abaka ini menjadi lebih penting bagi pelayar-pelayara Barat. 

Ekoran kepentingan nilai komersial abaka ini, namanya telah disesuaikan dalam perdagangan antarabangsa sebagai Manila Hemp. Penggunaan nama “Manila” adalah bagi menunjukkan rujukan geografi tempat asalnya di Filipina.

Sementara itu, perkataan “Hemp” merupakan satu gelinciran istilah; walaupun secara botani ia merujuk kepada keluarga tanaman ganja, dalam konteks konotasi konvensional, ia merujuk kepada tumbuhan yang menghasilkan gentian tali yang kukuh.

Permulaan

Ekoran nilai komersial tanaman ini yang semakin meningkat, kerajaan Brooke telah mengambil langkah proaktif untuk mengusahakannya sebagai tanaman komersial di Sarawak.

Tanaman ini telah ditanam sebagai tanaman percubaan pada 1925. Dapatan daripada percubaan penanaman ini menunjukan ia mengalami masalah apabila ditanam di kawasan tinggi dan cuaca kering. 

Penelitian ini membuat kesimpulan bahawa abaka ini perlu ditanam di kawasan rendah yang mempunyai saliran yang baik.

Ujian kepada penanaman abaka ini diteruskan dalam projek rintis kerajaan pada 1928 di kebun kerajaan. Uji kaji ini membuahkan hasil yang meyakinkan apabila anak sekata (sulur) yang ditanam memamerkan fasa pembesaran yang sangat sihat selepas 15 bulan disemai, sekali gus membuktikan kesesuaian tanah dan iklim tempatan bagi tujuan penanaman tersebut.

Walaupun terdapat keyakinan abaka boleh ditanam dan menjadi tanamana komersial di Sarawak tetapi pada era Brooke, tidak nampak wujudnya tindakan serius dalam menanam dan mengusahakan tanaman tersebut.

Oleh itu tiada rekod menunjukkan wujudnya pengeluaran bagi hasil tanaman tersebut. Malah tanaman abaka ini masih menjadi tanaman ujian di tapak kebun kerajaan.

Kekangan

Selain itu masalah penanaman abaka ini berkaitan dengan dasar pentadbiran Brooke yang mengehadkan pembukaan estet-estet besar. Atas sebab itu pemulaan penanaman abaka di Sarawak terbantut dan tinggal sebagai ujian berbanding dengan Sabah. 

Masalah ini ditambah pula dengan kekurangan jentera untuk memproses abaka. Sebahagian besar fasa pemprosesan untuk menukarkan bahan mentah tersebut kepada bentuk gentian masih bergantung sepenuhnya kepada kaedah manual, iaitu melalui pengekstrakan menggunakan tangan.

Perang Dunia Kedua meletus telah melenyapkan usaha memulakan penanaman tanaman ini. Keperluan ketika itu adalah tanaman untuk makanan dan sara diri. Tanaman komersial seperti getah tidak menunjukkan perkembangnya. Abaka juga tiada rekod dalam penanaman pada zaman Jepun.

Percubaan

Apabila British mengambil alih pemerintahan Sarawak selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, abaka tetap menjadi tanaman ujian di tapak-tapak semaian kerajaan. 

Kerajaan British telah menjalankan uji kaji tanaman tersebut di Stesen Pertanian Tarat. Dalam permahatian mereka menunjukkan bahawa terdapat potensi dalam kualiti abaka tersebut.

Terdapat petunjuk bahawa kawasan tanah di Sarawak yang cukup subur untuk menanam tanaman ini dalam skala komersial. Sebelum bermulanya penanaman ini, pihak kerajaan British memastikan agar tidak timbul masalah dari segi penyakit ke atas pokok jenis tanaman pisang ini. 

Kebiasaannya penyakit “bunchy top” (pucuk bergerombol) adalah penyakit yang akan menghalang pertumbuhan abaka ini. Atas sebab itu langkah telah dibuat dengan memberi kuasa kepada Pengarah Pertanian untuk memberi kelulusan kepada pengimportan abaka dari luar negara.

Namun demikian usaha menanam secara besar-besar tanaman ini tidaklah menjadi. Ini kerana tanah-tanah di Sarawak sesuai dengan tanaman tersebut tetapi ia memerlukan tanah lebih subur untuk ia tumbuh dengan hasil komersial.

Lain-lain

Selain abaka, beberapa jenis tanaman gentian yang lain turut diusahakan sebagai tanaman percubaan di Sarawak. Jabatan Pertanian Sarawak telah memperkenalkan beberapa lagi tanaman gentian sejak peringkat awal penubuhannya lagi bagi menilai potensi kesesuaian agronomi dan nilai ekonominya.

Selain abaka, barisan tanaman gentian lain yang turut diperkenalkan sebagai komoditi percubaan di Sarawak merangkumi rami Mauritius (Mauritius Hemp), rami Maguey (Maguey Hemp / Philippine Sisal), rami Sisal / sisal Hawaii (Sisal Hemp / Hawaiian Sisal), Henequen / sisal Yucatan /Mexico (Henequen, Yucatan / Mexican Sisal) dan Columbia Pita (Bromelia magdalenae).

Hasil rintisan ini mendedahkan corak pertumbuhan yang positif bagi beberapa varieti tertentu.

Sebagai contoh, rami Mauritius direkodkan telah mula diusahakan dalam plot percubaan sejak 1925. Bahan tanamannya yang dikenali sebagai bulbil (anak benih pada batang) dilaporkan mampu mencapai ketinggian sekitar satu meter dalam tempoh sembilan bulan, selain berupaya menghasilkan bulbil baharu yang akan ditanam semula sebaik sahaja mencapai saiz yang mencukupi.

Prestasi pertumbuhan yang memberangsangkan turut dipamerkan oleh rami Maguey yang dibawa masuk dari Manila. Tumbuhan tersebut dilaporkan menghasilkan anakan (suckers) yang sangat banyak dengan daya pertumbuhan yang kuat.

Sementara itu, rami Sisal pula menunjukkan potensi tersendiri untuk dikembangkan, meskipun kadar pertumbuhannya dikesan agak perlahan berbanding varieti yang lain.

Henequin turut menunjukkan pertumbuhan yang baik dengan penghasilan anakan yang banyak. Sementara itu, benih Columbia Pita diperoleh dari Kew Gardens di United Kingdom.

Tanaman ini dianggap lebih mudah diurus kerana memerlukan pokok-pokok besar sebagai naungan dan ia juga dikategorikan sebagai produk hutan. 

Laporan tentang tanaman gentian ini menunjukkan satu laporan yang positif. 

Namun demikian tanaman percubaan gentian ini tidak pula menjadi tanaman dikomersialkan di Sarawak sepanjang tempoh percubaannya dari zaman Brooke hingga ke British. Hal ini mempunyai kaitan dengan bagaimana tanaman ini diusahakan.

Permasalahan

Empat tanaman gantian menunjukkan bahawa ia adalah tanaman untuk ladang besar. Tanaman ini adalah rami mauritius, rami Maguey, rami Sisal dan Henequin. Tambahan daripada itu juga tanaman ini memerlukan jentera pemprosesan besar untuk mengendalikan tanaman tersebut. 

Hal ini mungkin menjadi sebab mengapa tanaman-tanaman gentian ini tidak berjaya diusahakan di Sarawak.

Columbia Pita merupakan jenis tanaman gentian yang boleh diusahakan secara kecil-kecilan oleh golongan pekebun keci lperibumi. Bagaimanapun, di sebalik potensi kemudahan budi dayanya, Columbia Pita ini gagal berkembang sebagai tanaman komersial yang dominan.

Fenomena ini berkemungkinan besar berpunca daripada saingan sengit industri getah yang jauh lebih lumayan pada ketika itu, sekali gus membantutkan usaha kerajaan era Brooke dan British untuk mengetengahkan tanaman gentian tersebut di Sarawak.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Tiket mahal, harapan kepada AirBorneo

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.