KUCHING: Peralihan Monsun Timur Laut pada akhir Februari dan permulaan musim panas bulan Mac hingga awal Mei akan menyaksikan cuaca panas dan angin dari laut pada siang hari dan keadaan kering ini akan menyebabkan kawasan semak samun kering dan mudah terbakar jika ‘diganggu’.
Bagaimanapun perkara ini perlu dipantau oleh Pihak Berkuasa Tempatan, syarikat ladang besar dan individu yang mula bercucuk tanam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Khirudin Drahman berkata pada tahun lepas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, kes dan kejadian kebakaran semak dan hutan kecil tidak berlaku.
“Daripada kajian dan analisa yang dibuat pada akhir tahun 2020 mendapati, kes kebakaran hutan ini disebabkan oleh faktor perbuatan manusia sendiri.
“Kawasan di utara Sarawak seperti Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas perlu diberi pertimbangan dari segi rondaan dan tinjauan udara oleh agensi yang bertanggungjawab dan akan sentiasa di selaraskan.
“Menara tinjau mula dibuka dan kawalan masuk kawasan hutan yang mudah terbakar akan dipertingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.
Khirudin berkata JPBM Negeri Sarawak juga telah mengadakan persiapan menghadapi kebakaran hutan seperti rondaan berkala ke kawasan hotspot, memberi nasihat dan advokasi kepada pekebun dan peladang, koordinasi bersama agensi-agensi penting seperi Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak.
“Selain itu JPBM turut melakukan pemantauan melalui media sosial untuk memberi respons segera sekiranya berlaku kebakaran hutan atau belukar.
“Pada kesempatan ini, saya menyeru dan mengesyorkan agar komuniti melaksanakan tanggungjawab positif bersama dalam mengelak pembakaran terbuka atau pembakaran yang disengajakan.
“Sekiranya berhasrat untuk menjalankan pembakaran, ianya haruslah mematuhi perkara berikut iaitu bagi individu atau pekebun kecil lakukannya dalam kuantiti kecil dan dikawal dengan kepungan parit atau sediakan sumber pemadaman.
“Mendapatkan bimbingan, nasihat dan kelulusan dari agensi bertanggungjawab seperti Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak,” ujarnya.
Khirudin berharap semoga ia dapat membantu jabatan dalam aspek gunatenaga kerja dan gerakatur aset bagi lebih khusus dalam tugasan sanitasi dan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) dalam menangani Pandemik Covid-19 di negeri ini.