
MADRID, Sepanyol: Florentino Perez dipilih semula sebagai presiden Real Madrid dengan majoriti besar, sekali gus membuka jalan kepada kepulangan Jose Mourinho sebagai pengurus pasukan.
Perez, 79, yang telah memegang jawatan presiden selama 23 tahun dalam dua penggal berasingan, memperoleh 65 peratus undi daripada kira-kira 100,000 ahli kelab atau socio, sekali gus menewaskan pencabarnya yang berusia 37 tahun, Enrique Riquelme, menurut pengumuman kelab semalam.
“Kami telah memenangi pilihan raya ini dan akan terus bekerja untuk memastikan kami terus memenangi gelaran,” kata Perez dalam ucapan kemenangannya.
Keputusan itu bermakna Mourinho dijangka diumumkan sebagai pengurus baharu Real Madrid seawal Isnin.
Beliau bakal kembali ke Santiago Bernabeu selepas kali terakhir membimbing kelab itu 13 tahun lalu, dengan Real Madrid dilaporkan membayar klausa pelepasan bernilai 15 juta euro (kira-kira RM76 juta) kepada kelab semasanya, Benfica.
“Kami akan terus berbangga dengan Stadium Santiago Bernabeu, stadium terbaik di dunia,” kata Perez.
“Kami bangga memiliki pemain terbaik dunia dan berbangga dapat mengalu-alukan kembali salah seorang jurulatih terbaik dunia, seorang Madridista sejati seperti Jose Mourinho.”
Mourinho pertama kali menyertai Real Madrid pada 2010 dan mengendalikan pasukan itu selama tiga musim.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau membantu Real Madrid memenangi satu gelaran La Liga, satu Copa del Rey dan satu Piala Super Sepanyol ketika era persaingan sengit dengan Barcelona yang dibimbing Pep Guardiola.
Pelantikan semula Mourinho dilihat sebagai satu pertaruhan oleh Perez selepas Los Blancos menamatkan musim 2025/26 tanpa sebarang trofi utama, sekali gus menjadikannya musim kedua berturut-turut tanpa kejuaraan besar.
Dalam satu video ringkas yang dimuat naik menerusi akaun Instagram rasmi kempen Perez minggu lalu, jurulatih dari Portugal itu dilihat memakai jersi Real Madrid sambil mengucapkan: “Ya.”
Sementara itu, Riquelme yang tewas dalam pemilihan berjanji akan membawa masuk penyerang Manchester City dan Norway, Erling Haaland, sekiranya beliau memenangi jawatan presiden tersebut. – AFP