DIBESARKAN dalam suasana yang mana seseorang mendengar cerita rakyat dan cerita tradisional sebagai hiburan memberi idea kepada seorang anak jati Iban untuk menggunakan media sosial You Tube sebagai platform untuk mengekalkan warisan tersebut.
Tidak hanya berkemahiran dalam bidang perniagaan dan memiliki syarikat perniagaan yang berasaskan produk dan penjagaan kesihatan yang tersendiri, beliau turut mempunyai impian untuk menyambung tugas sebagai ‘penglipur lara’ dalam kalangan masyarakat Iban.
Patrick Sijun, 29, seorang usahawan tempatan yang berasal dari Nanga Bangkit Entabai mengakui bahawa keputusan untuk mewujudkan sebuah saluran Youtube yang diberi nama ‘Anak Temuai’ bertujuan menjadi wadah penyampaian pelbagai genre cerita Iban.
SEJARAH
Patrick yang mula menubuhkan sebuah saluran Youtube pada 19 April 2020 yang mengetengahkan pelbagai genre cerita Iban menyatakan bahawa keinginan untuk mewujudkan saluran tersebut timbul setelah mendengar pelbagai cerita Iban menerusi radio.
“Masyarakat Iban memiliki pelbagai cerita rakyat atau cerita dongeng yang direka berdasarkan imaginasi pengarang atau pencerita yang disebut ‘ensera’, cerita yang berasakan fakta yang disebut ‘jerita’ dan juga cerita pendek variasi moden yang dikenali sebagai ‘cherpan’ atau dalam Bahasa Melayu, cerpen.
“Ensera dan jerita merupakan cerita yang ceritakan oleh orang tua pada zaman dahulu sebagai hiburan memandangkan dahulu tiada teknologi moden seperti televisyen, radio dah telefon.
“Saya merupakan generasi yang menerima hiburan dengan cara tersebut dan ia memberi inspirasi kepada saya untuk menyambung tugas orang-orang tua dengan menggunakan Youtube sebagai platform untuk bercerita,” jelas beliau.
KEPELBAGAIAN GENRE DALAM ‘ANAK TEMUAI’
Bercerita mengenai isi kandungan dalam saluran Youtube ‘Anak Temuai’, Patrick menyatakan bahawa beliau telah memuat naik melebihi 10 buah video yang terdiri daripada cerpen yang ditulis oleh penulis-penulis Iban yang lain dan juga ‘ensera’ yang diceritakan secara bersiri.
“Dalam saluran tersebut saya memuat naik pelbagai video yang yang terdiri daripada tujuh buah cerpen karya penulis Iban yang diceritakan menerusi audio seperti ‘Ensera Manggai jadi enggau bunsu sawa’ karya saya dan juga Jerryson Cyprian, ‘Cherpan Temuai Malam’ karya Mendu Milly, ‘Cherpan Puni’ karya Nancy Lo, ‘Cherpan Pengibun Kumang Remaung’ karya Nancy Lo dan Alexson John dan sebagainya.
“Selain itu, saya turut memuat naik dan juga ‘ensera’ dan ‘jerita’ yang diceritakan secara bersiri karya saya sendiri dan ia terdiri daripada ‘Ensera Bujang Burak Betaring Sapit’, ‘Ensera Bunsu Entadui’ dan ‘Jerita sempekat ukui enggau anak mensia’ dan juga beberapa hasil karya yang lain yang masih dalam proses dikeluarkan,” maklum beliau.
CABARAN
Terdiri daripada pelbagai genre seperti cerita seram, komedi dan klasik, Patrick mengakui bahawa proses untuk merakam, mengedit serta memuat naik video tersebut memakan masa yang agak panjang bagi sesebuah karya.
“Sesebuah karya yang diceritakan mengambil masa sebulan sehingga lapan bulan bergantung kepada kepanjangan karya tersebut dan saya melakukannya secara sendiri dari proses merakam, mengedit dan memuat naik video tersebut.
“Ada kalanya ‘ensera’ yang bergenre seram kadang-kadang memberikan ‘suasana’ yang agak mencabar keberanian kerana mengandungi pelbagai kepercayaan dan adat Iban akan tetapi saya tetap meneruskannya kerana saya risau ia akan hilang ditelan zaman.
“Saya percaya usaha saya untuk mengekalkan budaya bercerita atau ‘nusi ensera’ yang merupakan hiburan bagi masyarakat pada zaman dahulu akan semakin hilang pada masa akan datang kerana para penglipur yang berpengalaman sudah semakin dimamah usia,” ujarnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA