
MEXICO: Bintang muda Barcelona, Lamine Yamal, dan rakan sepasukannya di bahagian sayap, Nico Williams, akan tersedia untuk aksi pembukaan Piala Dunia Sepanyol menentang pendatang baharu, Cape Verde, pada 15 Jun ini, kata jurulatih Luis de la Fuente semalam.
Yamal dan pemain sayap Athletic Bilbao, Williams, terlepas aksi penghujung musim kelab masing-masing akibat kecederaan hamstring, namun kepulangan mereka dalam masa terdekat dijangka memberi suntikan besar kepada juara Eropah itu.
Pemain sayap Osasuna, Victor Munoz, juga dijangka cergas untuk perlawanan pembukaan Sepanyol di Atlanta, walaupun ketiga-tiga pemain tersebut tidak menyertai skuad ke Mexico bagi perlawanan persahabatan menentang Peru hari ini. Sebaliknya, mereka kekal di kem latihan pasukan di Amerika Syarikat.
“Kami kecewa mereka tidak berada di sini bersama kami, tetapi pasukan perubatan dan kecergasan menasihatkan mereka supaya kekal di sana,” kata De la Fuente.
“Ketiga-tiganya dijangka bersedia untuk perlawanan seterusnya… mereka menunjukkan perkembangan yang baik dalam proses pemulihan dan berada dalam keadaan yang sangat memuaskan.”
Sepanyol dijangka menjadi antara pasukan pilihan pada Piala Dunia yang berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat, dengan Yamal yang berusia 18 tahun berpotensi muncul sebagai salah seorang pemain paling menyerlah dalam kejohanan itu.
Selepas menentang Cape Verde, Sepanyol akan berdepan Arab Saudi di Atlanta sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Uruguay di Guadalajara. – AFP