SETELAH hampir 58 tahun merdeka dan pembentukan Malaysia, Bumi Kenyalang terus mengorak langkah kehadapan bagi mencapai sasaran negeri maju menjelang 2030.
Namun semua itu tidak datang bergolek dan memerlukan dan memerlukan pengembelengan tenaga serta usaha semua pihak terutama pemimpin dan kerajaan, yakini yang kukuh serta mendapat sokongan rakyat pada keseluruhannya.
Sebut sahaja pemimpin di negeri ini, berkisar tentang peranan dan jasa bakti, tidak boleh disangkal Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tiada tolok bandingannya, setelah mencurah keringat serta ‘mengorbankan’ lebih daripada separuh usianya mengubah ‘wajah’ Sarawak menjadi negeri yang paling pesat membangun di negara ini.
Hari ini, genaplah sudah tujuh tahun Tun Taib menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-7 setelah mengangkat sumpah jawatan itu pada 1 Mac 2014.
Pengorbanan, jasa dan khidmat bakti Tun Taib yang sebelumnya menjadi Ketua Menteri Sarawak selama 38 tahun, kekal terpahat dalam sejarah sebagai pemimpin yang menjadi inspirasi kepada kemajuan Sarawak seperti yang dilihat dan dinikmati oleh rakyat ketika ini.
Kini sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Taib boleh dikatakan sebagai lambang kemakmuran dengan jasa bakti yang tidak ternilai dan akan kekal dikenang serta dihargai selama-lamanya.
IMPIAN TUN TAIB UNTUK SARAWAK
Sebenarnya sasaran menjadi negeri maju menjelang 2030 sudah agak lama bermain dibibir pemimpin dan masyarakat di negeri ini.
Hakikatnya, sasaran itu bermula daripada cetusan visi Tun Taib ketika berucap pada Majlis Meraikan 28 tahun beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak di Bintulu suatu ketika dahulu.
“Harapan saya Sarawak akan menjadi negeri terkaya di Malaysia pada tahun 2030.”
Kearah itu, beliau sedar ia perlu bermula dengan pendidikan. Anak Sarawak hendaklah didedahkan dengan ilmu serta teknologi terkini terutamanya dalam teknologi digital dan mereka juga harus menguasai sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Hanya dengan itu, lahirlah tenaga kerja yang berkemahiran dan profesional, bagi memenuhi permintaan industri di Bumi Kenyalang.
Sekali gus memacu kepesatan pembangunan Sarawak yang menyasarkan menjadi negeri dengan rakyatnya berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030.
Ia impian Tun Taib dan diharap menjadi kenyataan kerana itu amanah seorang pemimpin terulung yang diwariskan kepada pemimpin masa ini, rakyat dan generasi masa depan pada keseluruhannya.