
MANILA: Sekurang-kurangnya lima orang dilaporkan maut selepas gempa bumi luar pesisir 7.8 magnitud melanda selatan Filipina, menurut seorang pegawai bencana tempatan, lapor Xinhua.
Agripino Dacera, ketua pengurusan bencana di General Santos City, berkata pihak berkuasa masih mengesahkan tahap kematian dan kerosakan.
Menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina, gempa bumi tektonik itu berlaku pada 7:37 pagi waktu tempatan pada kedalaman 33 kilometer (km) dengan pusat gempa 32 km barat daya pantai bandar Maasim di Wilayah Sarangani di Pulau Mindanao, berhampiran General Santos, dengan populasi sekitar 700,000.
Institut itu memaklumkan ombak tertinggi dicatatkan mencecah 1.4 meter. Media tempatan melaporkan beberapa bangunan runtuh dan menyebabkan bekalan elektrik terputus.
Gegaran turut dirasai di wilayah jiran.
Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos mengarahkan usaha tindak balas dan pemantauan bencana di seluruh kawasan terjejas serta menggesa penduduk bergerak ke tempat lebih tinggi untuk pengungsian.
Filipina mengalami aktiviti seismik yang kerap kerana lokasinya di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, zon sempadan plat tektonik utama yang terkenal dengan gempa bumi dan letusan gunung berapi. – Bernama