Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Siasatan kes penyelewengan dana awam berprofil tinggi selesai – KP SPRM
  • NASIONAL

Siasatan kes penyelewengan dana awam berprofil tinggi selesai – KP SPRM

Utusan Sarawak 9 hours ago
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman ditemubual oleh Bernama sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat SPRM Negeri Terengganu semalam. Foto Bernama.

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan kes penyelewengan dana awam berprofil tinggi menerusi Ops Sutra dengan seorang individu dijangka didakwa dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kes itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

“Mungkin seawal minggu ini pegawai saya akan merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Peguam Negara. Sekiranya dipersetujui, pertuduhan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama selepas lawatan kerjanya ke Pejabat SPRM di sini, semalam.

Beliau berkata siasatan menjurus kepada penyelewengan dana awam yang disalurkan melalui sebuah institusi kepada pertubuhan tertentu termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Abd Halim berkata hasil siasatan mendapati pemegang teraju pertubuhan berkenaan dipercayai menyeleweng dana mencecah ratusan juta ringgit menerusi beberapa syarikat yang ditubuhkan.

“Modus operandi mereka ialah menubuhkan beberapa syarikat selepas dana diterima dan menyalurkan dana terbabit untuk kepentingan sendiri melalui syarikat yang ditubuhkan itu.

“Terdapat juga pelbagai dokumen dan penyata yang dipercayai dipalsukan sebagai sebahagian daripada modus operandi mereka, selain banyak prosedur dan peraturan dipercayai telah dilanggar,” katanya.

Mengulas lanjut, Abd Halim berkata SPRM telah merakam keterangan 40 saksi serta mengenal pasti dua suspek utama, namun siasatan setakat ini menjurus kepada hanya seorang individu.

Beliau berkata SPRM turut membekukan pelbagai aset termasuk tujuh rumah, empat bidang tanah, tiga premis syarikat, 19 kenderaan mewah serta barang berharga seperti jongkong emas, jam tangan, beg tangan dan wang tunai dalam mata wang tempatan serta dolar Amerika Syarikat.

“Selain itu, sebanyak 76 akaun milik individu dan pertubuhan berkaitan turut dibekukan membabitkan nilai RM158 juta,” katanya sambil memaklumkan keseluruhan pembekuan dan sitaan berjumlah RM186.6 juta.

Dalam perkembangan lain, Abd Halim berkata SPRM telah melengkapkan dua kertas siasatan melibatkan kes berprofil tinggi membabitkan dua individu kenamaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti dua individu terbabit serta butiran kes kerana perkara itu masih tertakluk kepada kerahsiaan siasatan. – Bernama 

Continue Reading

Previous: Gempa bumi kuat landa Mindanao, gegaran turut dirasai di Sabah
Next: Tiada rakyat Malaysia terjejas akibat gempa bumi di luar pantai Mindanao, Filipina – Wisma Putra

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.