
KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) telah memperkenalkan TactiFlex™ Duo Ablation Catheter, iaitu kateter ablasi jantung dwi-tenaga canggih untuk merawat gangguan ritma jantung yang kompleks seperti pemfibrilan atrium dan aritmia ventrikular.
IJN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa teknologi tersebut merupakan satu lagi kemajuan penting dalam perkhidmatan interventional electrophysiology, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pusat jantung terkemuka di Malaysia serta institusi rujukan nasional bagi kes-kes jantung yang kompleks.
“TactiFlex™ Duo Ablation Catheter digunakan dalam prosedur ablasi jantung, iaitu prosedur invasif minimum yang merawat kawasan tisu jantung yang menjadi punca kepada isyarat elektrik yang tidak normal.
“Berbeza dengan pendekatan konvensional yang bergantung kepada satu sumber tenaga sahaja, teknologi ini membolehkan doktor menggunakan kedua-dua tenaga frekuensi radio (RF) dan pulsed field ablation (PFA) semasa prosedur dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, keupayaan dwi-tenaga ini memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada doktor untuk menyesuaikan rawatan mengikut anatomi, ciri-ciri tisu dan keperluan klinikal setiap pesakit.
“Tenaga RF menggunakan haba untuk merawat tisu yang menyebabkan isyarat jantung tidak teratur, manakala PFA menggunakan denyutan elektrik berkuasa tinggi untuk menyasarkan sel yang menyebabkan ritma jantung abnormal, dengan potensi mengurangkan kesan terhadap tisu sekeliling bagi pesakit yang sesuai,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Kardiologi Merangkap Pengarah Klinikal Electrophysiology Intervensi dan Peranti Boleh Diimplan IJN Datuk Dr Azlan Hussin berkata keupayaan dwi-tenaga teknologi tersebut, membolehkan doktor bertukar antara ablasi medan berdenyut (PFA) dan tenaga frekuensi radio (RF) semasa prosedur dijalankan, bergantung pada anatomi serta keperluan klinikal pesakit.
“Ini memberikan fleksibiliti dan ketepatan yang lebih tinggi kepada doktor dalam merawat gangguan ritma jantung yang kompleks seperti fibrilasi atrium dan takikardia ventrikel,” katanya.
Beliau berkata teknologi itu turut menyokong pendekatan yang lebih diperibadikan dalam terapi ablasi, khususnya bagi pesakit yang mempunyai penyakit atau anatomi yang kompleks.

“Dalam rawatan gangguan ritma jantung, tiada dua pesakit yang benar-benar sama. Keupayaan untuk menyesuaikan terapi ablasi mengikut keadaan pesakit adalah penting, terutamanya dalam pengurusan kes-kes yang kompleks.
“Teknologi ini melengkapi keupayaan ablasi sedia ada kami dan menyediakan satu lagi pilihan yang bernilai untuk meningkatkan hasil prosedur serta penjagaan pesakit,” katanya.
Dr Azlan berkata ketersediaan teknologi tersebut, memberikan pesakit akses kepada pilihan rawatan yang lebih diperibadikan dan invasif minimum, khususnya bagi mereka yang masih mengalami simptom walaupun telah menjalani rawatan menggunakan ubat-ubatan atau kaedah konvensional lain.
“Dengan membantu doktor menyasarkan punca ritma jantung yang tidak normal, prosedur ablasi jantung yang berjaya berpotensi mengurangkan simptom serta meningkatkan hasil rawatan dan kualiti hidup pesakit,” katanya.
Dr Azlan berkata teknologi itu bukan bertujuan menggantikan sistem ablasi jantung sedia ada di IJN, sebaliknya melengkapkan sistem tersebut dengan memperluas pilihan rawatan yang tersedia kepada pakar electrophysiology.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata status IJN sebagai hospital pertama di Malaysia yang memperkenalkan teknologi berkenaan, mencerminkan komitmennya untuk membawa teknologi kardiovaskular termaju ke dalam amalan klinikal.
“Lebih penting lagi, ia memastikan pesakit di Malaysia mempunyai akses kepada pilihan rawatan moden bagi gangguan ritma jantung yang kompleks, yang disampaikan oleh pasukan pakar berkemahiran tinggi.
IJN akan terus melabur dalam teknologi dan kepakaran yang menyokong hasil rawatan yang lebih baik bagi pesakit dengan keadaan kardiovaskular yang kompleks,” katanya.
Beliau berkata inovasi hanya bermakna apabila ia mampu meningkatkan penjagaan pesakit dan setiap teknologi baharu yang diperkenalkan IJN, dipandu oleh keperluan klinikal, keselamatan pesakit serta potensinya untuk memperbaiki hasil rawatan.
Pada masa yang sama, ia merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha menyediakan standard penjagaan jantung tertinggi untuk Malaysia dan rantau ini. – Bernama