
ISTANBUL: Sebuah dron laut meletup pada Jumaat di Pelabuhan Constanta di Laut Hitam, Romania ketika pihak berkuasa memeriksa peranti itu selepas ia dibawa ke darat, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan.
Menurut Antena 3 CNN, Perkhidmatan Perisikan Romania, Pengawal Pantai dan Kementerian Pertahanan Negara telah mengawal serta mengasingkan kawasan berkenaan, manakala pakar sedang menilai dan cuba memastikan objek itu selamat apabila letupan berlaku.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Pihak berkuasa mengosongkan kawasan sekitar sebagai langkah berjaga-jaga dan melancarkan siasatan terhadap insiden itu.
Pegawai Romania berkata dron laut itu menyerupai dron yang digunakan dalam serangan di Ukraine. Mereka turut menegaskan bahawa peranti itu bukan sebahagian daripada peralatan ketenteraan Romania dan tidak terlibat dalam latihan anjuran Kementerian Pertahanan baru-baru ini.
Dron itu dilaporkan ditemukan dan dibawa keluar dari laut sebelum dibawa ke pelabuhan, sebelum meletup ketika proses pemeriksaan dijalankan.
Pihak berkuasa Romania masih belum mendedahkan asal usul dron itu atau bagaimana ia boleh sampai ke pesisir negara berkenaan. – Bernama