KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka kembali mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini bersama ekonomi global lain susulan kemajuan pelancaran vaksin yang bakal meningkatkan semula penggunaan di seluruh dunia, kata Bank Dunia.
Ketua Ahli Ekonomi bahagian Makroekonomi, Amalan Global Perdagangan dan Pelaburannya, Richard Record (gambar) berkata kumpulan itu menjangka pemberian vaksin sebahagian besarnya boleh diselesaikan pada 2021 di kebanyakan negara, yang dijangka membawa kepada pemulihan ekonomi dan permintaan serta meningkatkan perdagangan dan harga komoditi.
“Kami mengunjurkan pertumbuhan global 4.0 peratus tahun ini. Bagi Malaysia, kami mengunjurkan pertumbuhan ekonomi tahun ini dalam jajaran antaran 5.6 dan 6.7 peratus,” katanya semasa Forum Prospek Ekonomi dan Strategik Malaysia 2021 (MESOF) secara maya yang bertajuk: ‘The Post-COVID-19 New Normal – Where Do We Go From Here’ (Normal Baharu Pasca Covid-19 – Apa Yang Perlu Kita Lakukan Seterusnya), pada Isnin.
MESOF dianjurkan secara bersama oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik (KSI) dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran risiko kepada pertumbuhan adalah kemajuan perlahan pemberian vaksin dan langkah pembendungan baharu yang boleh membawa kepada pelaksanaan lagi perintah kawalan pergerakan sambil menambah penggunaan merupakan bahagian terbesar daripada ekonomi Malaysia.
“Risiko kepada prospek pertumbuhan termasuklah kelewatan pelancaran vaksin yang tidak dijangka, langkah pengekangan yang tidak efektif, peningkatan bilangan isi rumah rentan dan landskap politik tempatan yang tidak menentu.
“Dalam tempoh terdekat ini, dasar perlu menumpukan kepada membendung penularan dan melindungi golongan paling rentan serta membina penampan fiskal ketika keadaan ekonomi bertambah baik,” katanya.
Seorang ahli panel lain, Shan Saeed, Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, berkata kerajaan Malaysia terus mengekalkan kestabilan makroekonomi yang bergerak pantas dan mengejutkan peserta pasaran.
“Kerajaan dapat mengawal sepenuhnya ekonomi dan akan terus menyokong apabila ekonomi memerlukan. Gabungan dasar fiskal dan monetari menjadi kunci bagi pertumbuhan ekonomi dan Bank Negara Malaysia masih ada banyak ruang untuk berbuat sesuatu dalam landskap monetari,” katanya.
Mengenai keluaran dalam negara kasar (KDNK) pula, beliau mengunjurkan pertumbuhan antara 3.0 hingga 4.0 peratus dan menjangka bank pusat mengekalkan kadar dasar semalaman pada satu hingga 1.75 peratus pada 2021.
Sementara itu, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Tinjauan Ekonomi Malaysia 2021 mengunjurkan perdagangan luar negara berkembang sebanyak 3.9 peratus dengan eksport barangan dijangka meningkat 2.7 peratus susulan pemulihan perdagangan dan rantaian bekalan global manakala import diunjur naik 5.3 peratus, disumbang oleh peningkatan pelbagai jenis import.
“Inflasi dijangka kembali semula pada 2021 selepas aliran deflasi apabila pandemik COVID-19 telah menjejaskan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.
“Ini susulan pelancaran awal program vaksin Covid-19 yang selamat dan efektif dan peningkatan permintaan berikutan kekurangan bekalan,” katanya.
Memetik Kementerian Kewangan, Mohd Uzir berkata inflasi diunjur pada 2.5 peratus berbanding -1.13 peratus pada 2020, menandakan lonjakan kukuh perbelanjaan pengguna.
Mengenai tenaga buruh, beliau berkata ia diunjurkan kekal pada 1.1 peratus manakala kadar pengangguran diunjur menyusut kepada 3.5 peratus pada 2021 berbanding anggaran 4.5 peratus pada 2020, apabila ekonomi negara dijangka melantun semula pada 2021 selepas mencatatkan prestasi lemah pada 2020 disebabkan pandemik tersebut.
- Bernama