
WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) pada Rabu mengumumkan penamatan misinya untuk mengkaji atmosfera dan evolusi Marikh selepas probe miliknya gagal dikesan selama enam bulan.
Kapal angkasa penyelidikan MAVEN singkatan bagi Mars Atmosphere and Volatile Evolution memasuki orbit Marikh pada 2014.
Misi itu pada asalnya dirancang untuk beroperasi selama satu atau dua tahun, namun probe berkenaan terus berfungsi selama lebih sedekad sebelum terputus hubungan dengan Bumi pada Disember 2025.
Selepas berbulan-bulan tanpa sebarang isyarat, NASA mengakui kehilangan kapal angkasa itu yang dipercayai masih berada dalam orbit Marikh.
Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat itu berkata pihaknya akan menyiasat punca terputusnya hubungan dengan probe berkenaan.
Menurut profesor astrofizik yang terlibat dalam misi tersebut, Shannon Curry, MAVEN merupakan “misi Marikh terbaik yang pernah dilaksanakan.”
Katanya, probe itu membolehkan saintis memahami fenomena kehilangan atmosfera, iaitu proses gas atmosfera terlepas ke angkasa lepas.
“Kini kami mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang kehilangan atmosfera di Marikh berbanding di mana-mana planet lain, termasuk Bumi. Oleh itu, Marikh menjadi makmal semula jadi yang luar biasa untuk memahami atmosfera planet berbatu,” katanya kepada pemberita.
Ketua Program Penerokaan NASA, Tiffany Morgan, berkata MAVEN telah “meningkatkan pemahaman kita secara mendalam tentang atmosfera, sejarah iklim dan kebolehdiaman Marikh”.
Probe itu juga berfungsi sebagai penghubung komunikasi antara Bumi dengan robot yang dihantar NASA ke permukaan planet merah tersebut.
Tugas itu kini perlu diambil alih oleh satelit pengorbit Marikh yang lain. — AFP