JAKARTA: Banjir teruk yang berpunca daripada musim monsun yang melanda Jakarta pada Sabtu memaksa lebih 1,000 orang meninggalkan kediaman mereka, sementara agensi meteorologi memberi amaran situasi itu kekal hingga minggu depan.
AFP melaporkan, 1,380 penduduk di selatan dan timur Jakarta dipindahkan selepas paras banjir naik sehingga 1.8 meter tinggi di beberapa kawasan, ujar Ketua Agensi Mitigasi Bencana Jakarta, Sabdo Kurnianto.
Bagaimanapun, tiada kes kehilangan nyawa yang dilaporkan.
Ramai pengguna media sosial memuat naik gambar dan video ke akaun masing-masing, yang menunjukkan penduduk tempatan meredah air bah berlumpur, selain kenderaan-kenderaan yang hampir tenggelam sepenuhnya.
“200 kejiranan terjejas, menurut data terkini. Hujan sudah berhenti, namun air bah dari kawasan lain masih menjejaskan Jakarta.
“Harap-harap banjir ini tidak sapai ke pusat kota dana apabila surut nanti, penduduk boleh kembali ke kediaman masing-masing,” ujar Gabenor Jakarta Anies Baswedan kepada media tempatan pada Sabtu, sambil menambah, lebih 20 pusat pemindahan sementara telah dibuka di seluruh ibu negara Indonesia itu.
Bencana banjir itu hadir ketika Indonesia masih bergelut dengan kes jangkitan dan kematian yang tinggi akibat Covid-19, selain cabaran ekonomi.
“Ini tempoh kriikal yang kita perlu bersedia. Jakarta dan pinggirannya masih dalam musim hujan lebat yang dijangka berterusan sehingga penghujung Februari atau awal Mac,” ujar Ketua BMKG, Dwikorita Karnawati.
Menurut pihak BMKG, Jakarta dalam tempoh berwaspada untuk sekurang-kurangnya empat hari mendatang, dengan data daripada agensi itu menunjukkan hujan lebat selama 24 jam di Pasar Minggu, selatan Jakarta mencatat bacaan 226 milimeter sejak Jumaat.-AFP