Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Biodiesel B15 perkukuh keselamatan bekalan diesel negara ketika krisis
  • SEMASA

Biodiesel B15 perkukuh keselamatan bekalan diesel negara ketika krisis

Utusan Sarawak 3 hours ago
MENTERI Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menunjukkan perbezaan minyak Boidiesel B100 (kanan) dengan Biodiesel B12 ketika melawat Terminal Pengedaran Biodiesel B15 di Terminal Pengedaran Petroleum Lembah Klang hari ini. Foto: Bernama

PUTRAJAYA: Penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit bukan sekadar menyokong agenda kelestarian negara malah menjadi strategi penting kerajaan dalam usaha memperkukuh keselamatan tenaga Malaysia ketika berdepan krisis.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata penggunaan campuran biodiesel yang lebih tinggi bertujuan memastikan Malaysia memiliki sumber bahan api alternatif sekiranya berlaku gangguan bekalan diesel petroleum.

“Pelaksanaan biodiesel B15 merupakan langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh keselamatan tenaga negara, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan menyokong agenda kelestarian negara melalui penggunaan tenaga alternatif yang lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT) untuk pelaksanaan biodiesel B15 di sini hari ini.

Noraini berkata keputusan kerajaan melaksanakan B15 bermula 1 Jun lepas adalah bagi memperluas jaminan bekalan bahan api negara dengan Metil Ester Sawit berasaskan minyak sawit menjadi alternatif yang dapat memanjangkan tempoh bekalan diesel sedia ada.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan terus menggalakkan penggunaan biodiesel selaras dengan komitmen Malaysia terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus selain menyokong pembangunan ekonomi hijau negara.

Noraini berkata pelaksanaan biodiesel di Malaysia kini berbeza mengikut lokasi dan beberapa kawasan mencapai penggunaan campuran lebih tinggi dengan Sarawak, kecuali Bintulu, serta Labuan dan Langkawi telah melaksanakan biodiesel B20 manakala tempat lain menggunakan campuran B10, B12 dan B15.

DATUK Seri Dr Noraini Ahmad ketika melakukan simbolik penggunaan minyak biodiesel B15 di Stesen Petronas Presint 16 hari ini. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Yusran Shah Mohd Yusof. Foto: Bernama

Beliau berkata peningkatan kadar campuran biodiesel itu turut berpotensi merangsang penggunaan minyak sawit tempatan tanpa menjejaskan prestasi eksport komoditi berkenaan.

“Pelaksanaan B15 dianggarkan menggunakan sekitar 0.801 juta tan metrik minyak sawit mentah setahun dan ia tidak akan memberi apa-apa kesan kepada pasaran eksport,” katanya.

Noraini berkata KVDT adalah fasiliti strategik yang menjadi nadi penyimpanan dan pengedaran petroleum negara khususnya bagi Lembah Klang selain antara pusat pengadunan biodiesel utama Malaysia.

Beliau berkata program biodiesel Malaysia disokong oleh rangkaian industri yang kukuh merangkumi 452 kilang minyak sawit, 54 kilang penapisan, 19 loji biodiesel dan 34 depoh pengadunan biodiesel di seluruh negara sebelum diedarkan ke lebih 4,400 stesen minyak untuk kegunaan pengguna.

“Infrastruktur lengkap itu membuktikan Malaysia mempunyai kapasiti, kepakaran serta keupayaan logistik yang kukuh untuk melaksanakan peningkatan adunan biodiesel secara berperingkat dan terancang,” katanya

Program biodiesel negara diperkenal secara berperingkat sejak 2011 bermula dengan B5 sebelum diperluas kepada B7 serta B10.

Selaras dengan Dasar Biobahan Api Nasional, kerajaan kini melaksanakan peningkatan kepada B15 yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun lepas. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Bawa pulang lebih air zamzam boleh undang masalah kepada jemaah
Next: Waktu operasi pintu sempadan utara Sarawak kembali seperti biasa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.