
SARIKEI: Pembinaan pagoda tujuh tingkat di Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei dijangka menjadi mercu tanda baharu dan tarikan pelancongan di kawasan ini pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, projek tersebut merupakan antara usaha kerajaan Sarawak dalam memperkasakan kemudahan keagamaan dan pembangunan komuniti setempat.
“Kerajaan Sarawak telah menyalurkan peruntukan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi membantu menaik taraf kemudahan Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei, termasuk pembinaan pagoda tujuh tingkat yang kini sedang giat dijalankan.

“Apabila siap nanti, pagoda ini bukan sahaja menjadi pusat penyebaran ajaran Buddha, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu dan mercu tanda baharu bagi Sarikei pada masa hadapan, katanya ketika berucap di majlis Sambutan Hari Wesak 2026 anjuran Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei, baru-baru ini.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, sambutan Hari Wesak mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mengamalkan nilai kasih sayang, kebijaksanaan dan hidup dalam suasana harmoni bagi mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera.
“Masyarakat hari ini berdepan pelbagai cabaran dan tekanan, justeru sikap saling menghormati, bertolak ansur serta membantu antara satu sama lain amat penting dalam memastikan keharmonian terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa projek pelebaran Jalan Nyelong Bypass di hadapan Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei telah diluluskan untuk dinaik taraf kepada jalan empat lorong.
“Projek ini kini sedang dilaksanakan dan dijangka dapat melancarkan aliran trafik serta memberikan keselesaan yang lebih baik kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Tambahnya, kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kekal komited dalam memastikan kestabilan politik dan pembangunan berterusan demi kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama.
Di majlis tersebut, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei bagi menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Oleh Earl Anek