
FUKUSHIMA: Empat individu cedera akibat serangan beruang di timur laut Jepun hari ini, namun kesemua mereka masih sedarkan diri ketika dihantar ke hospital, lapor Kyodo News memetik pihak berkuasa tempatan.
Sekitar 6.30 pagi waktu tempatan, jabatan bomba menerima panggilan daripada sebuah syarikat pembuatan keluli di bandar Fukushima yang melaporkan seekor beruang menyerang dua pekerja lelaki, masing-masing berusia 20an dan 60an.
Beruang itu kemudian melarikan diri ke kawasan kediaman berhampiran, sebelum menyerang seorang wanita berusia 80an di sebuah rumah dan seorang lelaki berusia 60an di bangunan pejabat lain.
Beruang berkenaan dipercayai masih berada di kawasan itu. Polis tempatan sedang mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat bagi membolehkan haiwan itu ditembak. Laporan mengenai kelibat beruang diterima sejak petang Isnin.
Serangan itu berlaku di premis syarikat Fukushima Steel Works Co. dan kawasan kediaman yang terletak sekitar tiga kilometer di barat laut Stesen JR Fukushima.
Sesi persekolahan di kawasan itu dibatalkan susulan laporan berkenaan. – Bernama