

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak berjaya melaksanakan operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) terhadap seorang kru kapal warga China yang mengalami kecederaan di pergelangan tangan ketika berada di atas kapal CX GEMMA di perairan Tanjung Po, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuching menerima panggilan daripada ejen kapal pada 11.40 pagi yang memohon bantuan bagi membawa mangsa mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut beliau, mangsa dikenali sebagai Xian Xu, 36, warga China yang bertugas di atas kapal jenis Bulk Carrier berdaftar di bawah bendera Kepulauan Marshall.
Ketika kejadian, kapal CX GEMMA berada pada kedudukan kira-kira 7.5 batu nautika di utara Tanjung Po.
Susulan menerima laporan kecemasan tersebut, Maritim Malaysia segera mengatur gerak aset KILAT 35 pada jam 12.20 tengah hari ke lokasi kapal bagi melaksanakan operasi pemindahan.
Beliau berkata, bot berkenaan berjaya merapat ke kapal CX GEMMA pada 12.50 tengah hari sebelum proses pemindahan mangsa dilaksanakan dengan lancar dan selamat.
Mangsa kemudian dibawa keluar dari kapal dan diiringi ke Jeti KOMTAS untuk tindakan selanjutnya.
Setibanya di jeti, mangsa diserahkan kepada ejen kapal sebelum dibawa ke Hospital Borneo Medical Centre (BMC), Kuching bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Mohd Khairi berkata, kejayaan operasi tersebut membuktikan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam memberikan bantuan kecemasan kepada komuniti maritim yang memerlukan.
Beliau menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus komited melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan perairan negara serta memastikan kebajikan dan keselamatan warga perkapalan yang beroperasi di perairan Malaysia sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman